Tukar kaedah memasak



Mengurangkan pengambilan lemak menjadi cabaran paling besar bagi masyarakat di Malaysia. Ini kerana, ramai berdegil untuk mengurangkan kandungan kolesterol tinggi disebabkan amalan memasak menggunakan minyak berlebihan mengikut budaya dan cita rasa sendiri.

Menjadi tabiat masyarakat Malaysia menggunakan banyak minyak dalam setiap hidangan terutama ketika musim perayaan.

Mengikut Kajian Nutrisi Orang Dewasa Malaysia (MANS) 2014, kebanyakan masyarakat mengambil terlalu banyak lemak dengan purata pengambilan 46.43 gram sehari.

Tinjauan Kesihatan Dan Morbiti Kebangsaan (NHMS) 2015 juga menunjukkan 30 peratus rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, 17.7 peratus obesiti, manakala 47.7 peratus mempunyai kolesterol tinggi.

Pengurus Kanan Dietetik dan Perkhidmatan Makanan Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw John berkata, penggunaan minyak berlebihan daripada kuantiti sepatutnya dalam pelbagai masakan boleh meningkatkan risiko serangan penyakit jantung.

“Masyarakat kita suka makanan bergoreng dan sudah biasa menggunakan banyak minyak ketika memasak.

“Memasak menggunakan minyak berlebihan tidak baik untuk kesihatan jika dijadikan amalan harian kerana boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit berkaitan jantung.

“Namun, masih ramai kurang sedar termasuk mengabaikan akibat daripada amalan pemakanan terbabit yang boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pertandingan memasak JomAirfry dan Menang anjuran Philips Malaysia dengan kerjasama IJN bertujuan menggalakkan amalan memasak dan pemakanan yang sihat.

Pertandingan memasak itu mensyaratkan peserta menyediakan makanan tanpa minyak menggunakan perkakas memasak seperti penggoreng udara panas yang boleh membantu mencapai matlamat untuk menyediakan masakan yang lebih sihat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Philips Malaysia, Muhammad Ali Jaleel dan jurumasak selebriti serta penulis buku resipi, Marina Mustafa.

Mary Easaw berkata, risiko serangan jantung boleh dikurangkan dengan menukar kaedah masakan harian yang lebih sihat termasuk menggunakan perkakas memasak sebagai inovasi bagi membantu menyediakan makanan kegemaran yang rendah lemak.

“Pilih kaedah masakan yang lebih sihat seperti mengukus, merebus, membakar dan memanggang kerana ia adalah pendekatan terbaik tanpa harus menggunakan minyak sekali gus memupuk minat memasak makanan yang rendah lemak demi kesihatan jantung.

“Bagaimanapun, penggunaan perkakas dapur yang bersesuaian juga dapat membantu masyarakat menyediakan makanan sihat yang rendah lemak. Ini kerana, inovasi perkakas untuk memasak kini banyak tertumpu pada penyediaan makanan mudah, ringkas tetapi menyihatkan,” katanya.

(myMetro)

[4621767]

Facebook Comments