Penyebab utama kecacatan





Kecederaan otak traumatik (TBI) adalah masalah perubatan dan kesihatan awam sejagat yang semakin meningkat. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan TBI akan mengatasi penyakit lain sebagai penyebab utama kematian dan kecacatan menjelang 2020.

Ia bukan saja menjejaskan pesakit, malah turut menjadi beban kepada penjaga, anggota keluarga termasuk masyarakat berikutan kesan kecederaan otak menjejaskan fizikal, cara berfikir (kognitif), kemampuan intelek, tingkah laku atau emosi pesakit sama ada sementara atau secara kekal sehingga hilang keupayaan untuk menjaga diri sendiri dan terpaksa bergantung kepada orang di sekeliling. TBI adalah kerosakan otak apabila sel-sel otak musnah atau merosot.

Insiden yang menyumbang kepada TBI adalah pelbagai bentuk trauma kepada otak akibat jatuh, kemalangan kenderaan, keganasan fizikal dan tembakan. Kerosakan otak juga berlaku disebabkan keracunan bahan kimia pada sel saraf (neuron), putus bekalan oksigen (anoksia), kekurangan bekalan oksigen (hipoksia), tumor, jangkitan kuman pada otak dan saluran darah pada otak pecah atau tersumbat (strok).

TBI juga dibahagikan kepada tahap ringan, sederhana dan teruk. Oleh itu, pelbagai bentuk kecederaan otak mengakibatkan gejala yang berlainan apabila pesakit mungkin kehilangan keupayaan untuk bergerak atau hilang ingatan jangka pendek atau hilang keupayaan untuk berinteraksi.

Namun, kebanyakan pesakit TBI tidak menyedari otak mereka mengalami kerosakan berikutan gejala timbul dalam jangka panjang. Malah, kerosakan otak juga sering tidak dapat dikesan menerusi pemeriksaan perubatan sehingga gejala muncul sedikit demi sedikit. Disebabkan itu banyak kes TBI tidak dikenal pasti sehingga ia digelar epidemik senyap.

Perunding Pakar Bedah Neuro Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr Ramesh Narenthiranathan berkata rawatan TBI bergantung kepada kecederaan dan mungkin memerlukan intervensi seperti ubatan, pembedahan kecemasan atau pembedahan selepas beberapa tahun mengalami impak cedera.

Rawatan kini digunakan termasuk terapi fizikal, terapi pertuturan, terapi rekreasi, terapi kerja dan terapi penglihatan.

“Tahap kecederaan biasanya berdasarkan tempoh hilang kesedaran atau kadar koma, amnesia postraumatik (PTA) atau hilang ingatan sementara dan keputusan pengimejan otak. TBI yang teruk boleh menyebabkan masalah kesedaran apabila pesakit mungkin mengalami koma iaitu keadaan tidak berjaga dan tidak sedar.

“Pesakit yang koma terbaring dengan matanya tertutup dan tidak bertindak balas terhadap persekitarannya, bunyi atau kesakitan. Bagi pesakit yang mengalami semi koma atau keadaan vegetatif, dia berjaga apabila matanya terbuka dan bertindak balas dengan persekitarannya, namun tidak menyedari apa perbuatan yang dilakukannya.

“Bagaimanapun, masyarakat kita masih tidak tahu bahawa sekiranya tindakan segera diambil pesakit dengan masalah kesedaran ini boleh diselamatkan,” katanya.

Beliau ditemui pada sambutan Hari Rehabilitasi Neuro anjuran pusat perubatan berkenaan bagi meraikan pesakit yang pulih daripada kecederaan otak, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai rawatan sesuai, intervensi pembedahan dan intensif pemulihan awal untuk masalah kesihatan berkenaan, baru-baru ini.

ADMC juga mengadakan pameran mengenai peralatan pemulihan neuro yang dilengkapi dengan teknologi moden dan mampu memberikan diagnosis tepat dan kaedah rawatan untuk semua masalah neurologikal.

Statistik menunjukkan pesakit dengan TBI yang teruk termasuk strok mempunyai kadar kematian dan kebarangkalian hilang upaya kira-kira 40 peratus. Pesakit yang memerlukan rawatan sokongan hayat biasanya adalah mereka yang mengalami keadaan vegetatif berterusan dan akan bergantung kepada penjaga sepanjang hayat.

Dr Ramesh berkata, pesakit TBI akan berdepan pelbagai masalah dalam rutin kehidupan kerana TBI mengganggu cara otak berfungsi dengan normal disebabkan apabila sel-sel saraf dalam otak rosak, ia tidak lagi boleh menghantar maklumat antara satu sama lain dengan cara yang biasa.

“Masalah umum yang boleh berlaku selepas TBI akan menjejaskan fungsi fizikal, kognitif dan emosi atau tingkah laku. Ini menyebabkan perubahan dalam tingkah laku dan kebolehan seseorang. Bagaimanapun, kecederaan itu boleh menyebabkan masalah yang berbeza, bergantung kepada bahagian otak yang rosak.

“Otak adalah pusat kawalan kepada semua bentuk aktiviti manusia termasuk proses penting seperti bernafas dan bergerak seperti juga berfikir, menilai dan reaksi emosi. Namun, masalah khusus yang akan dihadapi pesakit TBI tidak dapat ditentukan awal kerana masalah akan timbul selepas kecederaan dalam otak sembuh dan ia mungkin mengambil masa berminggu-minggu atau bertahun-tahun,” katanya.

Katanya, TBI berkemungkinan memerlukan pembedahan tetapi bergantung kepada bentuk kecederaan seperti serangan otak tiba-tiba bagi pesakit strok akibat saluran darah dalam kepala tersumbat atau pecah dan pembedahan segera perlu dilakukan.

“Darah tersumbat dalam saluran darah perlu dibuang, manakala saluran yang pecah perlu diperbaiki kerana ia boleh meningkatkan tekanan intrakranial yang boleh mengancam nyawa.

“Dalam usaha itu, pakar bedah mungkin perlu melakukan kraniotomi iaitu membuat lubang pada tengkorak untuk merawat kecederaan otak terbabit,” katanya.

Sementara itu, Perunding Rehabilitasi ADMC, Datin Dr Tunku Nor Taayah Tunku Zubir berkata, kajian terdahulu menunjukkan sel-sel otak yang rosak tidak boleh mengembalikan semula fungsi dan ini mengakibatkan pesakit kehilangan keupayaan dan tidak mampu berdikari.

“Tetapi, kajian terkini dalam bidang neurologi menunjukkan ada harapan buat pesakit yang mengalami kecederaan otak untuk mendapatkan kembali keupayaan yang hilang menerusi program pemulihan yang betul mengikut tahap.

“Program pemulihan biasanya terdiri pasukan pakar bedah otak, pakar neurologi, perunding pemulihan, juruterapi pemulihan dan jururawat yang akan membantu pesakit yang mengalami kecederaan otak tahap ringan sehingga kes neurologikal yang kompleks.

“Dalam program pemulihan ini, pasukan berkenaan menyasarkan pesakit dapat bergerak sendiri dengan tongkat atau alat bantuan lain, melakukan kegiatan seharian sendiri seperti makan, minum, berpakaian, menjaga kebersihan termasuk mandi dan membersihkan diri mereka,” katanya.

Katanya, terapi yang dilakukan termasuk memberi kemahiran berkomunikasi dalam pertuturan dan bahasa, kemahiran kognitif seperti daya ingatan atau menyelesaikan masalah dan kemahiran bersosial seperti berinteraksi dengan orang lain.

“Rehabilitasi dilakukan untuk membantu pesakit kembali hidup berdikari dan berfungsi sebaik mungkin, namun diingatkan rehabilitasi dalam kebanyakan kes tidak akan menghapuskan 100 peratus kesan daripada kecederaan ke atas otak itu.

“Matlamatnya adalah untuk membina kekuatan, kebolehan dan keyakinan diri pesakit supaya mereka mampu meneruskan aktiviti harian dengan suasana yang paling selesa walaupun pada hakikatnya mereka bukan lagi sama dari segi fizikal dan mentalnya berbanding sebelum mendapat kecederaan otak,” katanya.

(myMetro)

[4621763]

Facebook Comments