Kawal diabetes sejak kecil


Umum mengetahui diabetes bukan lagi penyakit yang asing apatah lagi dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Menurut data Persekutuan Diabetes Antarabangsa tahun lalu, sekurang-kurangnya 3.3 juta penduduk negara ini menghidap penyakit itu dengan kira-kira separuh daripadanya masih tidak sedar mereka menghidap diabetes.

Dianggarkan daripada 17.5 peratus orang dewasa berusia 18 tahun ke atas direkodkan menghidapnya, cuma 8.3 peratus menyedari kewujudan penyakit itu dalam badan mereka. Manakala 9.2 peratus lagi tidak sedar mereka ada diabetes.

Antara punca keadaan itu berlaku disebabkan tiada sejarah keluarga menghidap diabetes menyebabkan pemeriksaan kesihatan tidak dilakukan sedangkan diabetes bukan semata-mata disebabkan keturunan.

Perkara pokok yang dibahas Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KPM), Dr Nor Saleha Ibrahim Tamin adalah gaya hidup masyarakat masa kini.

Berkongsi situasi membimbangkan itu bersama media diiringi syarikat penjagaan kesihatan global Novo Nordisk baru-baru ini, beliau memberi penekanan kepada amalan gaya hidup dan pemakanan seawal dari rumah buat anak-anak.

Jelasnya, berbanding generasi ibu bapa dan datuk nenek kita yang banyak melakukan kerja buruh di bendang, kebun, ladang dan seumpamanya, golongan masa kini lebih banyak menghabiskan masa di tempat berhawa dingin.

Pelbagai jenis makanan tersedia sepanjang masa di restoran 24 jam sehari, sedikit sebanyak mendorong amalan pemakanan tidak berjadual.

“Dulu murid berjalan kaki atau mengayuh basikal ke sekolah, berbanding sekarang di mana ibu bapa akan menghantar atau guna khidmat bas sekolah yang menjemput anak di depan rumah. Ini kerana kita bimbang keselamatan anak jika dia bersendiri ke sekolah.

“Jika faktor begini berada di luar kawalan kita, mungkin kita boleh kawal faktor lain misalnya menentukan apa yang boleh mereka makan. Kita umpama ikutan mereka, jadi apa yang kita makan juga mempengaruhi gaya pemakanan mereka.

“Pada saya, istilah anak yang comel, montel, sihat dan seumpamanya tidak lagi relevan. Perlu diakui, hanya sebilangan kecil kanak-kanak berjaya turunkan berat badan selepas mengalami obesiti ketika zaman kecilnya,” katanya.

Dr Nor Saleha berkata, salah anggap mengenai faktor diabetes muncul juga perkara yang perlu diberi tumpuan.Ini kerana jelasnya, majoriti masyarakat yang lebih mengambil berat terhadap kemungkinan wujud diabetes dalam badan mereka terdiri daripada golongan yang mempunyai latar belakang ahli keluarga menghidap diabetes.

Sementara golongan yang tiada sejarah ahli keluarga menghidap diabetes, cenderung menganggap dirinya bebas diabetes atau sukar dihidapi penyakit itu.

“Yang kita nampak, diabetes dipengaruhi oleh keturunan dan gemar makanan manis tetapi realitinya, ada pelbagai faktor lain seperti obesiti, amalan diet yang salah, kurang aktiviti fizikal dan peningkatan usia. Diabetes jenis satu, dipengaruhi oleh keturunan. Ini tiada masalah untuk kita kawal kerana mereka sudah ambil langkah berjaga-jaga lebih awal.

“Paling membimbangkan adalah diabetes jenis di mana ia dipengaruhi oleh persekitaran. Inilah kumpulan penghidap yang sering tidak sedar mereka menghidap diabetes yang dipengaruhi oleh gaya hidup. Sebab itu semuanya perlu seimbang. Jaga berat badan, lakukan aktiviti fizikal yang optimum, seimbangkan diet dan tidak terkecuali, tidur yang mencukupi.

“Kesannya jika sudah menghidap diabetes apa lagi di peringkat yang tinggi, amat dirasai. Kegagalan buah pinggang, buta, masalah kardiovaskular, strok dan dialisis antara yang perlu ditempuh penghidap kritikal. Wang ringgit juga tidak terkecuali,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Novo Nordisk Malaysia, Singapura dan Brunei, Noha Shawky berkata, menjadi matlamat pihaknya untuk melihat penghidap diabetes mendiagnosis dan menerima rawatan sewajarnya dalam membantu golongan itu mencapai tahap gula darah sasaran secara konsisten.

“Komplikasi diabetes menimbulkan beban kewangan yang besar kepada individu, keluarga malah negara. Menjadi misi kami untuk berganding bahu dengan pemegang kepentingan utama seperti KPM dalam menambah baik kehidupan penghidap sekali gus mengehadkan kesan sosial dan ekonomi penyakit ini,” katanya.

(myMetro)

[4621710]

Facebook Comments