Kanser keturunan


Kajian menunjukkan lima hingga 10 peratus kanser adalah jenis keturunan kerana berlakunya kerosakan pada gen (unit warisan) atau dikenali sebagai mutasi gen.

Kanser payudara dan ovari antara kanser keturunan yang paling banyak dijalankan kajian, dan ia boleh diwarisi secara dominan kepada ahli keluarga generasi yang seterusnya.

Mutasi gen BRCA1 dan BRCA2 boleh menyebabkan seseorang cenderung mendapat kanser payudara dan ovari. Pembawa mutasi gen BRCA mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk menghidapi kanser payudara dan ovari berketurunan berbanding dengan populasi umum.

Antara golongan yang berisiko menjadi golongan pembawa mutasi gen BRCA adalah mereka yang mempunyai ahli keluarga dan saudara terdekat yang menghidapi kanser payudara sebelum umur 40, sama ada dari pihak ibu atau bapa, kanser ovari, kanser pada kedua-dua payudara, kanser payudara lelaki atau ramai saudara-mara yang menghidapi kanser payudara, kanser pankreas serta kanser prostat.

Melalui semakan sejarah kanser keluarga secara teliti, individu yang berisiko menjadi pembawa mutasi gen BRCA dapat dikenal pasti seterusnya dirujuk untuk kaunseling genetik dan ujian genetik. Doktor pakar kemudian boleh membantu mereka untuk menjalankan rawatan mencegah risiko kaser yang sepatutnya.

Menurut Presiden Empowered, Persatuan Kanser Advokasi Malaysia dan juga Pakar Onkologi, Dr Christina Ng Van Tze, melalui kempen dan program kesedaran, rakyat Malaysia pembawa mutasi gen BRCA atau mutasi gen yang lain akan lebih proaktif dalam usaha menurunkan risiko menghidap kanser, mengambil langkah seperti melakukan pemeriksaan berkala bagi mengurangkan impak kanser berketurunan berkenaan.

“Kempen ini sememangnya bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap kanser payudara dan ovari berketurunan serta membawa impak positif terhadap kehidupan rakyat Malaysia.

“Pendekatan Empowered dalam membawa mesej kesedaran kanser payudara dan ovari berketurunan adalah melalui aktiviti kreatif bertujuan memberi pengalaman pengetahuan yang senang serta membekalkan jawapan kepada rakyat Malaysia mengenai kanser,” katanya ketika merasmikan kempen kanser payudara dan ovari berketurunan 2016 oleh Persatuan Kanser Advokasi Malaysia (The Cancer Advocacy Society of Malaysia) Empowered di pusat beli-belah Paradigm Mall Petaling Jaya baru-baru ini.

Kempe yang bertemakan ‘semak gen, lawan kanser’ bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai risiko kanser payudara dan ovari berketurunan (Hereditary Breast & Ovarian Cancer, HBOC). Golongan yang berisiko adalah indivdu yang mempunyai sejarah keluarga dan saudara mara yang menghidapi kanser.

Empowered iaitu badan bukan kerajaan (NGO) akan meneruskan inisiatif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan terutama kanser serta menyokong usaha pembangunan dan penyelidikan dalam perubatan.

(myMetro)

[4621700]

Facebook Comments