Suntik sekali sehari



Insulin adalah hormon yang dihasilkan pankreas supaya tubuh kita dapat menggunakan gula (glukosa) daripada karbohidrat dalam makanan termasuk menyimpan glukosa untuk kegunaan akan datang.

Secara umumnya, hormon ini membantu mengawal aras gula dalam darah supaya tidak terlalu tinggi (hiperglisemia) atau terlalu rendah (hipoglisemia).

Khususnya pula, insulin membolehkan sel dalam otot, lemak dan hati untuk menyerap glukosa dalam darah bagi digunakan sebagai tenaga. Insulin juga memberi kesan kepada proses metabolik lain seperti penguraian lemak atau protein.

Sel dalam tubuh kita memerlukan gula untuk ditukar menjadi tenaga. Bagaimanapun, gula tidak boleh dihantar ke dalam kebanyakan sel secara langsung. Selepas makan aras gula dalam darah akan meningkat dan sel dalam pankreas akan mendapat isyarat untuk melepaskan insulin ke dalam aliran darah.

Insulin kemudian membantu sel untuk menyerap gula dari aliran darah. Ia diibaratkan sebagai kunci yang membuka laluan dalam sel untuk menerima gula sebelum ditukar menjadi tenaga.

Malah, jika tubuh kita mempunyai banyak gula darah melebihi jumlah yang diperlukan, insulin akan membantu menyimpan lebihan gula dalam hati dan melepaskannya apabila aras gula dalam darah menjadi rendah atau tubuh memerlukan lebih banyak gula seperti sebelum waktu makan atau ketika melakukan aktiviti fizikal.

Oleh itu, insulin membantu menyeimbangkan aras gula dalam darah dan mengekalkannya pada aras normal. Malah, pankreas juga akan merembeskan lebih banyak insulin jika aras gula dalam darah meningkat.

Namun, jika tubuh tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau sel merintang terhadap pengaruh insulin, ia akan menyebabkan berlakunya hiperglisemia yang mengakibatkan komplikasi jangka panjang kerana aras gula kekal naik dalam tempoh lama.

Pesakit diabetes Jenis 1 tidak boleh menghasilkan insulin kerana sel beta dalam pankreas rosak atau musnah. Oleh itu, mereka memerlukan suntikan insulin bagi membolehkan tubuh memproses glukosa dan mengelakkan komplikasi hiperglisemia.

Pesakit diabetes Jenis 2 pula mengalami rintangan insulin iaitu sel tidak bertindak balas terhadap insulin. Ini menyebabkan mereka memerlukan suntikan bagi membantu sel memproses gula dengan lebih baik, pada masa sama mencegah komplikasi daripada diabetes.

Pesakit diabetes Jenis 2 awalnya dirawat dengan ubatan oral bersama pemakanan dan senaman. Disebabkan diabetes jenis ini berkembang dengan cepat, pesakit akan sentiasa memerlukan pengambilan insulin untuk mengekalkan aras gula darah.

Insulin adalah rawatan berasaskan suntikan kepada pesakit diabetes Jenis 1 dan Jenis 2. Ia disuntik ke dalam badan pesakit menggunakan picagari bersama jarum atau pen insulin juga bersama jarum.

Biasanya, insulin akan disuntik pada paha, punggung dan abdomen. Ia hanya perlu disuntik di bawah kulit iaitu tidak sehingga ke dalam otot atau urat sebelum menyerap ke dalam saluran darah kecil dan aliran darah.

Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Chan Siew Pheng berkata, bagaimanapun rawatan insulin sering datang dengan kesan sampingan yang tidak diingini terutama hipoglisemia atau aras gula darah rendah.

Aras gula darah rendah adalah potensi kesan sampingan bagi kebanyakan rawatan diabetes. Ia boleh menjejaskan kehidupan seharian pesakit diabetes, mengganggu kehidupan sosial, pekerjaan dan aktiviti riadah.

Malah, aras gula rendah juga menyebabkan pelbagai simptom yang tidak menyenangkan seperti menggeletar, gemuruh, berpeluh, degup jantung laju, lapar, loya dan pening serta dikaitkan dengan kebimbangan dan serangan panik.

“Matlamat utama rawatan diabetes adalah menjadikan aras gula darah hampir normal dan terapi insulin adalah rawatan asas bagi diabetes Jenis 1, manakala bagi diabetes Jenis 2 insulin diperlukan apabila rawatan oral atau suntikan selepas pemakanan dan senaman gagal mengawal gula darah secukupnya,” katanya.

Dr Chan berkata, walaupun ada pelbagai pilihan rawatan diabetes termasuk insulin, masih ada beberapa keperluan yang tidak dipenuhi. Segelintir pesakit gagal memenuhi sasaran aras gula darah mereka.

“Kebanyakan pesakit dengan terapi insulin tidak pernah mencapai dos terapeutik yang optimum. Isu kritikal lain dikaitkan dengan terapi insulin adalah gula darah rendah dan lebih dikhuatiri apabila pesakit tidak menggunakannya dengan cekap berikutan ia kononnya menyebabkan berat badan bertambah.

“Aras gula darah rendah akibat pengambilan yang tidak cekap beginilah yang menjadi punca utama pesakit berhenti menggunakan insulin atau menukar rawatan lain. Risiko aras gula darah rendah juga boleh menghalang keupayaan pesakit untuk mencapai dos terapeutik yang optimum,” katanya pada pelancaran rawatan insulin asas generasi baharu, Toujeo, yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Sanofi, di ibu negara, baru-baru ini.

Rawatan insulin, Toujeo, yang berbentuk pen adalah suntikan sekali sehari tetapi bertindak lama untuk meningkatkan kawalan glisemik dalam kalangan pesakit diabetes dewasa bagi Jenis 1 dan 2. Formulasinya mengandungi insulin ‘glargine’ yang dipertingkatkan dan bertindak dengan melepaskan sejumlah kecil insulin perlahan-lahan supaya aktiviti penurunan glukosa berterusan sehingga 24 jam.

Ketua Perubatan Diabetes Sanofi-Aventis (Asia), Dr Shailendra Bajpai berkata Toujeo adalah formulasi insulin asas baharu yang dipertingkatkan untuk membantu pesakit diabetes mengatasi halangan mereka terhadap rawatan insulin terutama mereka yang bimbang mendapat hipoglisemia.

“Pesakit selalu gagal mematuhi terapi insulin asas yang juga rawatan terbaik untuk mereka. Antara sebab segelintir pesakit gagal menggunakan insulin seperti bimbang berlaku aras gula rendah, sukar menyesuaikan dos, kekurangan maklumat dan sokongan serta sukar menguruskan rutin harian pengambilan insulin.

“Mekanisme tindakan Toujeo mengandungi bahan aktif yang dipanggil insulin glargine dan aktiviti utamanya untuk mengawal metabolisme glukosa dengan mengawal tahap gula darah yang tinggi kepada pesakit diabetes Jenis 1 dan 2. Insulin glargine mengurangkan glukosa darah dengan merangsang pengambilan glukosa periferal dan menghalang pengeluaran glukosa hepatik,” katanya.

Dr Shailendra berkata, kelulusan penggunaan Toujeo berdasarkan keputusan daripada program percubaan klinikal dikenali sebagai Edition yang terdiri daripada satu siri tiga ujian klinikal Fasa III yang menilai keselamatan dan kecekapan Toujeo.

“Kajian dijalankan ke atas lebih 3,500 pesakit diabetes dewasa Jenis 1 dan 2. Dalam ujian klinikal ini, suntikan sekali sehari Toujeo dibandingkan dengan suntikan sekali sehari rawatan insulin glargine sebelumnya iaitu Lantus.

“Percubaan ini dijalankan dengan kajian label terbuka, secara rawak, kawalan aktif dan selari serta merawat ke sasaran selama 26 minggu dengan enam bulan lanjutan keselamatan,” katanya.

Katanya, keputusan kajian Fasa III menunjukkan pengurangan ketara pesakit diabetes Jenis 2 yang baharu dalam terapi insulin mengalami gula darah rendah pada waktu malam sepanjang tempoh kajian ini apabila dirawat dengan Toujeo berbanding Lantus sewaktu fasa pentitratan lapan minggu pertama.

“Analisis yang dikumpulkan secara konsisten menunjukkan bilangan pesakit Jenis 2 dengan aras gula darah rendah berkurangan dalam terapi insulin pada bila-bila masa termasuk waktu malam berbanding Lantus. Semua kajian menunjukkan kawalan gula darah sama dengan penggunaan Toujeo berbanding Lantus dan mencapai titik akhir utama kajian,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr Zanariah Hussein berkata, kawalan diabetes di negara ini tidak optimum tetapi proses penjagaannya bertambah baik, malah ada peningkatan beransur-ansur dalam kadar pesakit mencapai sasaran gula darah mereka.

“Sejak lima tahun lalu, kadar penginsulinan meningkat secara berterusan apabila 26 peratus diambil dalam penjagaan utama, manakala dua pertiga pesakit dalam penjagaan di hospital mengambil terapi insulin.

“Kerjasama antara penjagaan kesihatan profesional dan pesakit adalah kritikal dengan pembabitan aktif kedua-dua pihak dalam menguruskan penyakit ini dan mencapai kawalan glisemik yang baik dengan adanya banyak pilihan terapi oral dan insulin.

“Bagaimanapun daya usaha dan penjagaan sendiri pesakit adalah penting dalam mengawal penyakit progresif sepanjang hayat ini,” katanya.

(myMetro)

[4621766]

Facebook Comments