Nikmati aktiviti luar rumah




Parut adalah tanda pada permukaan kulit yang terbentuk selepas kecederaan pada permukaan kulit itu sembuh. Sebenarnya, parut adalah cara badan kita menyembuhkan luka dan ia sebahagian daripada proses penyembuhan kecederaan semula jadi.

Ketika kulit mengalami kecederaan sama ada luka atau terkena api, badan kita akan melakukan proses penyembuhan sendiri dengan menghasilkan banyak protein dikenali sebagai kolagen.

Kolagen ini akan terbentuk di kawasan tisu yang terjejas untuk membantu penyembuhan dan menguatkan kulit yang tercedera. Disebabkan tisu kulit baru tidak sejajar dengan tisu lama, kulit yang terhasil kelihatan gelap. Pemulihan kulit yang berparut kepada keadaan semula jadi bergantung kepada pemulihan tisu baru dan peredaran darah lebih baik.

Jenis parut seperti hipotrofik yang disebabkan oleh kemerosotan lapisan tisu berlebihan dan pengeluaran penggantian sel tidak berfungsi seperti biasa. Parut hipertrofik pula adalah pertumbuhan berlebihan tisu baru, tetapi tidak akan berkembang lebih daripada had luka asal.

Parut keloid adalah parut yang lebih serius kerana selain terbentuk terlalu tebal akibat pertumbuhan tisu yang berlebihan, ia akan terus berkembang melebihi had luka asal walaupun luka sudah sembuh.

Malah, parut keloid boleh terus berkembang selama-lamanya ke dalam pertumbuhan yang besar. Kehadiran parut sedemikian mampu merunsingkan fikiran kita kerana ia menjejaskan penampilan dan menimbulkan rasa malu untuk berhadapan dengan orang ramai sekali gus menyebabkan kita kurang keyakinan diri.

Pengurus Kanan Pengurusan Pemasaran Penjagaan Kesihatan Pengguna DKSH Malaysia Sdn Bhd, Pang Koon Yin berkata, disebabkan penampilan parut berbeza-beza apabila terdapat parut yang rata, tenggelam ataupun timbul, ia menyebabkan banyak ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka bermain di luar kerana bimbang terjatuh dan mendapat parut.

Menurutnya, kebanyakkan ibu bapa juga percaya bahawa anak mereka lebih selamat berada dalam rumah, malah teknologi dan penggunaan perkakas hiburan di rumah memberi keselesaan untuk anak daripada bermain di luar.

“Teknologi dan persekitaran bandar ketika ini menahan anak daripada menikmati alam semula jadi seperti generasi lama membesar. Kanak-kanak sememangnya sangat aktif dan mungkin terjatuh dan mendapat kecederaan ketika bermain di luar.

“Ini menyebabkan ibu bapa tidak mahu insiden terbabit berlaku lalu menghalang anak mereka daripada bermain di luar. Tanpa disedari, sikap ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka melakukan aktiviti di luar rumah sebenarnya menyekat proses perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen Wira Parut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan aktiviti dan permainan di luar rumah untuk perkembangan fizikal dan psikologi kanak-kanak.

Kempen anjuran penjagaan parut Hiruscar Kid itu juga bermatlamat menggalakkan ibu bapa membenarkan anak mereka untuk menikmati aktiviti di luar rumah tanpa perlu risau kanak-kanak berkenaan mendapat parut akibat terjatuh selagi ia dirawat dengan baik.

Sementara itu, Pakar Psikologi Klinikal, Dr Priyadarshini Moharkonda Srinivasan berkata, aktiviti di luar rumah mempunyai kelebihan fizikal dan psikologi yang penting kepada pembangunan kanak-kanak apabila ia merangsang perkembangan otak dengan lebih cepat.

Malah, kanak-kanak yang bermain lebih banyak di luar rumah lebih terdedah menjadi lebih aktif dan dengan itu kurang cenderung untuk menjadi individu dengan berat berlebihan ketika membesar.

“Di samping itu, kanak-kanak yang meluang banyak masa dengan aktiviti di luar rumah juga mampu belajar sesuatu dengan lebih baik dan bersosial menerusi permainan berkumpulan. Dengan ini, mereka akan lebih berupaya berhubung antara satu sama lain.

“Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan untuk beri lebih masa kepada anak untuk berman di luar dan tidak terlalu melampau melindungi mereka. Seandainya, anak-anak terjatuh dan mendapat luka ringan ini adalah sebahagian daripada proses membesar.

“Parut berlaku apabila kecederaan itu tidak dirawat dengan baik atau langsung tidak dirawat. Selain insiden begini, kanak-kanak malah orang dewasa juga boleh mendapat parut melalui demam campak, cacar air ataupun gigitan nyamuk sekalipun,” katanya.

Dr Priyadarshini berkata, manfaat aktiviti luar rumah dapat meningkatkan kreativiti dan imaginasi kanak-kanak terutama yang masih kecil, selain itu ia turut mengajar mereka membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta bekerjasama antara rakan.

“Kanak-kanak yang bermain dalam kumpulan dapat meningkatkan kemahiran bahasa dan komunikasi dengan mengamalkan interaksi sosial sesama mereka.

“Mereka juga dapat meningkatkan keupayaan dan kapasiti untuk belajar, menumpukan perhatian dan mengkordinasi tindakan serta fikiran,” katanya.

Katanya, sikap ibu bapa yang ingin melindungi anak-anak dan risau jika kanak-kanak berkenaan mendapat kecederaan adalah perkara biasa. Namun, ibu bapa juga perlu memahami kepentingan anak-anak untuk menikmati aktiviti luar rumah sebagai proses pembesaran.

“Kanak-kanak yang bermain di luar rumah akan mencara diri mereka untuk melakukan pelbagai aktviti. Mereka akan berlari lebih laju, melompat lebih jauh dan memanjat lebih tinggi.

“Walaupun semua tindakan ini boleh menyebabkan kecederaan, namun permainan yang dianggap berisiko itu boleh membantu kanak-kanak untuk belajar daripada kesilapan dan bangkit untuk sesuatu yang lebih baik.

“Ini adalah proses semula jadi dan pengalaman yang perlu yang akan membantu membentuk sistem sensor yang sihat iaitu asas untuk belajar dan mencapai matlamat hidup,” katanya.

(myMetro)

[4621762]

Facebook Comments