Skuter pertama cekap tenaga





Pasaran motosikal skuter kini dilihat semakin berkembang terutama golongan muda yang mahukan sebuah jentera mudah dikendali dan responsif sebagai tunggangan harian.

Untuk memenuhi segmen itu, pengedar dan pemasang motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda Sdn Bhd, memperkenalkan Honda Beat, model skuter terbaru khusus bagi mereka yang pentingkan penjimatan bahan api maksimum.

Skuter transmisi automatik ini dikuasakan enjin 110cc disasarkan kepada pelajar dan remaja antara usia 17 hingga 24 tahun.

Beat juga turut disasarkan kepada pemilik yang mahu membeli motosikal pertama yang turut mendapat pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama untuk pasaran tempatan.

Pengarah Urusan Boon Siew Honda Sdn Bhd Nobuhide Nagata berkata, skuter Beat menawarkan teknologi terkini termasuk kuasa dipertingkatkan dengan enjin eSP baru yang menawarkan penggunaan bahan api efisien dengan teknologi PGM-Fi bersama indikator ECO.

“Ciri keselamatan turut dipertingkatkan antaranya Sistem Brek Combi (CBS) yang membolehkan skuter dihentikan dalam keadaan stabil pada sebarang cuaca.

“Lampu hadapan rekaan bergaya menyerlahkan penampilan manakala lampu belakang ‘smoky’ untuk lebih jelas ketika waktu malam.

Honda Beat dijual pada harga RM5,565 termasuk GST, dengan dua tahun jaminan atau 20,000 kilometer.

Selain itu, promosi terhad membolehkan setiap pembelian diberi kad petrol percuma.

(myMetro)

[4621661]

Facebook Comments