Himpunan ‘mat motor’ selatan



Tujuh tahun menunggu, akhirnya buat sekian kalinya gabungan pemilik motosikal berkuasa tinggi dari selatan Semenanjung dijangka mengadakan Johor Bike Week 2017 (JBW17) di parkir Pelangi Leisure Mall, Johor Bahru, pada 24 hingga 26 Mac ini.

Pengerusi JBW17, Datuk Jamaludin Mansor berkata, program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim sesama pemilik dan penggemar motosikal dari dalam dan luar negeri ini.

“Serentak dengan ini juga, ahli jawatankuasa (AJK) JBW17 akan mengadakan siri jelajah ke seluruh Semenanjung untuk mempromosikan acara ini selain bertemu rakan termasuk mengadakan aktiviti amal.

“Kali terakhir program ini diadakan pada Oktober 2010 dan selain bertujuan mengeratkan hubungan sesama ahli, aktiviti bermotosikal juga dapat menghimpunkan rakan lain dari seluruh negara serta saling mengenali antara satu sama lain,” katanya selepas majlis perasmian acara Year End Auto Meet 2016 di sini, baru-baru ini.

Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar. Turut hadir Tunku Datuk Hassan Tunku Mohammed Archibald; Ketua Wilayah Selatan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Commercial Sdn Bhd, Ishraqi Shah Abu Bakar; Penasihat JBW17 Abd Rahim Ahmad dan Penolong Pengarah Tourism Malaysia (Johor), Aaron Gan Chai Heng.

Jamaludin yang juga pengasas KJ Bikers Garage berkata, program berkenaan mendapat penajaan tapak daripada PNB Commercial Sdn Bhd dan Umang-umang Bikers sebagai Penaja Dana Utama, selain kerjasama kumpulan motosikal di negeri ini.

“Kami merancang melakukan siri jelajah promosi kerana mahu menjemput rakan dari negeri lain untuk hadir ke JBW17, selain menikmati lokasi menarik sekitar negeri ini, sekali gus membantu kehadiran pelancong ke lokasi sekitar negeri ini.

“Gabungan penunggang motosikal berkuasa tinggi dari selatan mempunyai lebih 60 kumpulan yang juga mendapat sokongan sepenuhnya daripada Tourism Johor dan Tourism Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Zaini turut mengumumkan bantuan bukan dalam bentuk kewangan berjumlah RM10,000 kepada penganjur bagi merealisasikan acara berkenaan.

(myMetro)

[4621671]

Facebook Comments