Nissan Skyline R32 berkuasa


Bercerita mengenai kereta GT paling popular di negara ini, nama Nissan Skyline pasti tidak lekang daripada sebutan mulut peminat kereta. Jentera dicipta Shinichiro Sakurai dari Jepun dianggap sebagai ‘raja’ bagi semua kereta GT yang sempurna.

Model GT-R R32 Skyline memenangi kejohanan Kejohanan Touring Car Jepun sebanyak lima kali berturut-turut. Bermula seawal 1957 dan sehingga kini, enam varian berbeza bagi Skyline termasuk model terkini R35 masih ada di pasaran dunia sehingga kini.

Pilihan Modifikasi kali ini adalah varian R32 GT-R dikeluarkan pada 1992 milik peniaga di Kulim, Kedah, Luqman Faris Azmi, 24, yang tidak kurang juga hebatnya selepas melalui proses ubah suai nadi utama.

Menaruh kepercayaan pada bengkel khas yang mengubah suai jenteranya di Seberang Jaya, Pulau Pinang, Luqman menjadikan enjin RB25DET bersesaran 2,500 cc ditambah dengan kemasukan pelbagai komponen untuk meningkatkan prestasi enjin seperti cam pulley HKS 264, Turbo GTX 35 dan unit kawalan elektronik (ECU) Microtech LT 5, menjadikannya benar-benar bertenaga.

Dengan hanya beberapa komponen berprestasi dipadankan pada jentera berjaya melonjakkan kuasa kuda (hp) hingga 430hp.

Selain itu sebagai jentera memiliki enjin yang besar dan mudah panas, setiap hos getah ditukar kepada jenis silikon yang tahan lasak.

Sistem gantungan jentera juga menerima perubahan yang mana jenama penyerap hentakan boleh laras BC Racing dipasang pada jentera. Untuk menghentikan jentera ini, sistem brek cakera lebih canggih dari R35 digunakan.

Ruangan pemanduan tampak tidak banyak diusik, sebaliknya pemasangan kerusi bucket Bride, stereng Sparco dan meter boost APEXi menjadikan jentera tampak lebih sporty.

Sudut luaran pula masih mengekalkan komponen asal kecuali padanan rim Enkei CE28 bersaiz 17 inci dan spoiler binaan khas menjadikan rupa jentera sungguh garang.

Menurut pemilik, sehingga kini lebih RM50,000 dilaburkan untuk modikifasi enjin menjadikan nilai pasarannya kini lebih RM120,000.

INFO

NISSAN SKYLINE R32 GTR (KELUARAN 1992)

• ENJIN: RB 25 DET 2,500cc

• CAM PULLEY: HKS 264

• TURBO: Garret GTX 35

• ECU: Microtech LT 5

• HOS: Sumco

• SISTEM GANTUNGAN: BC Racing

• SISTEM CAKERA BREK: R35

• KERUSI BUCKET: Bride

• STERENG: Sparco

• METER BLOW-OFF: Apexi

• RIM: Enkei 17 inci

• SPOILER: Binaan khas

• BENGKEL: Shifter Autocraft

• KOS MODIFIKASI: RM50,000

(myMetro)

[4621664]

Facebook Comments