Crossover mampu milik


Selepas sekian lama dinanti, akhirnya Honda Malaysia melancarkan model Crossover tujuh tempat duduk pertamanya dikenali sebagai ‘Bold Runabout Vehicle’ atau BR-V.

Model yang dibina khusus untuk pasaran Asia Tenggara mengetengahkan konsep sebuah jentera untuk keluarga atau individu aktif tanpa mengetepikan aspek premium dan keselesaan.

Dengan rekaan luaran sebuah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) bersama ruang sebuah Kenderaan Pelbagai Guna (MPV), BR-V serba baharu menawarkan satu pilihan alternatif sebagai sebuah Crossover tujuh tempat duduk yang bergaya dan praktikal antaranya ruang kargo paling luas, output enjin paling tinggi dan jarak ketinggian dari tanah tertinggi.

Dijana enjin empat silinder SOHC i-VTEC 1.5L selain padanan kotak gear CVT di bawah teknologi ‘Honda Earth Dreams’ untuk meningkatkan penjimatan bahan api serta menawarkan prestasi pemanduan lebih baik.

Jentera ini menawarkan sehingga 120 kuasa kuda pada 6,600rpm manakala tork setinggi 145Nm pada 4,600rpm.

Ketua Pegawai Operasi bagi Operasi Serantau (Asia dan Oceania) Honda Motor Co Ltd yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co Ltd Noriaki Abe berkata, ASEAN adalah pasaran yang berkembang pesat walaupun pertumbuhan perlahan pada tahun lalu.

“Kami percaya peningkatan populasi dan kuasa beli berterusan mampu menyumbang kepada pertumbuhan pasaran kenderaan di rantau ini.

“Jualan Honda sebenarnya mencatat lonjakan besar di rantau ini dalam tempoh lima tahun daripada 240,000 unit kepada lebih 400,000 unit dengan peningkatan sebanyak hampir 70 peratus,” katanya ketika majlis pelancaran Honda BR-V.

Hadir sama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Katsuto Hayashi.

Noriaki berkata, BR-V serba baharu yang dilancarkan dibangunkan khas untuk rantau Asia dan Oceania terutama untuk pelanggan yang memerlukan ruang lebih besar.

“Kami menjangka bahawa permintaan kenderaan SUV dan utiliti akan meningkat, mencerminkan kehendak pelanggan di rantau ini.

“Kami percaya BR-V serba baharu akan memuaskan kehendak pelanggan yang inginkan kenderaan yang mampu memuatkan tujuh individu dengan selesa serta menawarkan pemanduan atas pelbagai keadaan jalan raya di negara ini,” katanya.

Sejak diperkenalkan di Thailand, Indonesia dan India, model tujuh tempat duduk ini mendapat sambutan menggalakkan sebelum Honda Malaysia memutuskan untuk membawa masuk ke pasaran negara ini.

Faktor utama sambutan diterima berikutan keluasannya seperti sebuah Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) tetapi didatangkan dengan gaya Kenderaan Utiliti Sukan (SUV).

Antara keistimewaan model terbaru ini termasuklah ruang barangan seluas 223 liter, meskipun semua tempat duduk dinaikkan.

Namun, ruang sama dapat ditingkatkan kapasitinya kepada 539 liter jika tempat duduk barisan ketiga direbahkan.

Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat dalam nisbah 50:50 dengan ciri One Touch Tilt & Tumble manakala bagi tempat duduk barisan ketiga pula, ia boleh dilipat dalam nisbah 60:40.

Ruang dalaman turut dipertingkatkan apabila semua tempat duduk dibaluti kulit, sistem audio bersama navigasi, 11 tempat meletak minuman dan unit pendingin hawa untuk barisan tengah serta belakang.

Reka bentuk luarannya turut diserikan dengan kehadiran Lampu Nyalaan Siang LED (DRL) dan rim aloi dua tona bersaiz 16 inci. Honda BR-V memiliki dimensi 4,456 milimeter (mm) panjang, 1,735mm lebar dan 1,666mm tinggi dengan jarak roda 2,662mm.

Ini menjadikan Crossover ini 161mm lebih panjang, 45mm lebih tinggi dan jarak rodanya 50mm lebih panjang berbanding Honda HR-V.

Dari aspek keselamatan pula, Honda BR-V ditawarkan dengan dua beg udara, Sisten Brek Anti Kekunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Mula Pendakian (HSA), ISOFIX dan kerangka daripada Teknologi Kawalan Tekanan G (G-CON) Honda.

Honda BR-V turut diberi penarafan lima bintang bagi ujian pelanggaran ASEAN NCAP.

Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu E pada harga RM85,800 (termasuk insurans) manakala varian V berharga RM92,800 (termasuk insurans).

Lima warna diperkenalkan Merah, Kelabu, Perak, Putih dan Perang.

SPESIFIKASI:

Honda BR-V 1.5L

Enjin: Empat silinder 16 injap SOHC i-VTEC

Kuasa: 120hp pada 6,600rpm

Tork: 145Nm pada 4,600rpm

Transmisi: Automatik CVT

Ciri Keselamatan: Beg udara hadapan berkembar, ABS,VSA, EBD, HSA, ISOFix

Harga atas jalan termasuk insurans: RM85,800 (Varian E), RM92,800 (Varian V)

(myMetro)

[4621691]

Facebook Comments