Motosikal hilang kuasa


Saya menggunakan Honda Wave 110 yang baru berusia setahun dengan jarak perbatuan sekitar 24,000km. Saya mendapati motosikal saya hanya terdaya memecut sekitar 70 hingga 100km/j selain kehilangan kuasa apabila mendaki bukit sehingga terpaksa menukar gear rendah.

Selain itu, enjin motosikal akan mati apabila berhenti mengejut terutama ketika membrek. Saya sudah menghantar servis kaburator tetapi tiada perubahan. Apakah sebenarnya masalah motosikal saya?

Azlin,

Kuala Lumpur

Sebelum bertindak lebih jauh, kita perlu mengambil kira peranan komponen berkaitan karburator seperti salur bahan api, penapis udara dan liang pelepasan udara atau lubang angin pada penutup tangki petrol.

Semua komponen ini mesti diperiksa kerana setiap satunya memberi kesan terhadap prestasi karburator secara keseluruhan. Liang pelepasan udara, jika tersumbat, akan melambatkan bekalan bahan api tiba ke karburator dan gagal membekalkan bahan api memadai bagi enjin beroperasi laju.

Periksa salur masuk bahan api supaya alirannya lancar terutama pada bahagian jaring penapis pada alat kawalan atau ‘stop-cock’ tangki.

Habuk atau kekotoran juga boleh menyebabkan saiz lubang jet dan liang yang ada dalam karburator tersumbat, menyebabkannya gagal menghasilkan kuasa enjin diingini.

Penukaran jarum dan jet karburator juga menyebabkan campuran bahan api tidak lagi sekata atau tepat. Penalaan karburator harus dilakukan mekanik berpengalaman kerana karburator bermasalah menyebabkan pecutan lembap, terutama apabila bebanan bertambah seperti mendaki bukit.

(myMetro)

[4621686]

Facebook Comments