TZR 250 1KT kekal retro


Satu ketika dulu, jentera Yamaha dua lejang berimej retro dengan sesaran tinggi sering dibiarkan pemiliknya berikutan tidak ramai berminat untuk ‘membelanya’.

Namun selepas perhimpunan Retro Malaysian Raiders (RMR) diperkenalkan pada 2008 selain penerbitan filem dengan tema motosikal retro diangkat dalam filem Mat Motor dan Mat Motor Otai, dunia dua roda semakin meriah apabila jentera sebegitu mula ‘diburu’ peminat.

Biarpun sukar ditemui manakala kos penyelenggaraan tinggi, wang bukanlah penghalang buat individu yang gila terhadap jentera dua roda.

Perkara sama dirasai penjawat awam, Md Yazid Ghazali, 29, yang sungguh taasub terhadap jentera dua roda sehingga memiliki lima jentera retro berlainan model dan jenama.

Salah satu yang menarik perhatian adalah Yamaha TZR 250 1KT yang masih kekal asli dan pernah menjadi kegilaan anak muda sekitar 1980-an. Varian TZR dikeluarkan di Jepun pada 1986 hingga 1996 dengan pelbagai model dan sesaran berbeza.

Jentera dikeluarkan pada 1986 ini antara generasi pertama dua lejang kategori 250cc keluaran Yamaha yang didatangkan dengan enjin Parallel Twin YPVS. Enjin standard ini terdaya mencapai 50hp pada 10,000rpm manakala dua ekzos berkembar memastikan enjin kekal ‘bernafas’ dengan sempurna.

Komponen asal jentera langsung tidak ditukar atau diubah suai, sebaliknya hanya melalui proses restorasi. Bahagian berkarat dan tidak dapat digunakan digantikan komponen baharu asli seperti tangki jentera yang mereput dek usia.

Bagi menampakkan jentera seakan mesin lumba, fork hadapan direndahkan manakala keseimbangan jentera dikawal penyerap hentak asal tunggal.

Motosikal berwarna merah putih ini tampak lebih menyerlah de­ngan padanan pelekat badan Marlboro. Pelbagai komponen asal masih kekal pada jentera seperti lampu, meter kelajuan, tangki dan sebagainya.

Pemilik di Nibong Tebal, Seberang Perai, Pulau Pinang ini mengakui hanya membiarkan jentera kesayangannya ber­ada dalam keadaan asal tanpa sebarang pengu­bahsuaian, meskipun harganya kini mencecah lebih RM20,000.

(myMetro)

[4621693]

Facebook Comments