Sang genit berkuasa






Hampir sekian lama menjadi kegilaan remaja di negara jiran, Thailand, akhirnya Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) melancarkan fun bike MSX 125 khusus untuk penggemar jentera dua roda di negara ini.

Walaupun saiznya kecil, perbezaan mini bike ini tidak terlalu ketara apabila diletakkan sebaris bersama motosikal kapcai lain, kecuali rim yang kecil iaitu hanya bersaiz 12 inci.

Ketika pelancarannya, BSH juga menjemput pelumba negara yang juga juara Asia dua kali kategori SuperSport 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC), Mohd Zaqhwan Zaidi, untuk menunggang uji di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pelumba pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing itu mengakui jentera ‘genit’ berkenaan sangat berkuasa dan seronok untuk ditunggang.

Honda MSX 125 adalah model global kategori fun bike/mini bike dijana enjin satu silinder empat lejang 125cc yang membekalkan 9.6 kuasa kuda (hp) pada 7,000rpm manakala tork maksimum sehingga 11Nm pada 5,250rpm.

Nadi jentera ini digabungkan bersama sistem pancitan bahan api PGM-FI dengan padanan empat kelajuan dan klac. Antara suntikan teknologi dicurahkan Honda terhadap motosikal mini ini ialah suspensi hadapan jenis terbalik (USD – upside down) bagi mengimbangi beban selain pengendalian yang jitu.

Aspek keselamatan juga dipertingkatkan apabila dua brek dipasangkan pada kedua-dua roda. Casis motosikal ini dibina daripada kerangka tulang belakang mono keluli teguh yang menawarkan pengendalian meyakinkan dalam semua situasi jalan raya.

Paparan meter LCD digital komprehensif dengan meter kelajuan, meter perjalanan berkembar, tolok bahan api dan jam menambahkan lagi keistimewaan model ini.

MSX 125 didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Kuning Hyper dan Merah Menyala dengan harga diletakkan pada RM11,128.94 (termasuk GST) dengan jaminan pengeluar dua tahun atau 20,000 km.

(myMetro)

[4621678]

Facebook Comments