Fokus aspek keselamatan


Hino Motors Sales (M) Sdn Bhd (Hino), melancarkan model kenderaan ringan komersial (LCV) terbarunya, Hino Siri 300, bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang, khususnya syarikat pengendali penghantaran barangan.

Model terbaru itu turut menekankan beberapa aspek keselamatan bukan saja kepada pemandu, malah pengguna jalan raya lain.

Antaranya Sistem Brek Berkunci (ABS), dipertingkatkan bagi membantu kawalan pemanduan lebih jitu terutama ketika mengharungi permukaan jalan licin dan menghadapi situasi tidak diduga.

Pengarah Urusan Hino Ken Iwamoto berkata, pihaknya mampu menjual 4,500 unit model berkenaan pada tahun ini dan optimis model baru itu akan mendapat sambutan menggalakkan kerana kelebihan ditawarkan menepati kehendak pasaran dan industri.

“Meletakkan keselamatan sebagai fokus utama dalam siri baru ini antara usaha membendung perkara tidak diingini seperti kemalangan jalan raya, kehilangan nyawa atau kerugian,” katanya.

Selain dilengkapi ciri keselamatan ABS, antara peningkatan dilakukan termasuk sudut pandangan cermin sisi lebih luas, tali pinggang tiga mata ELR (Emergency Locking Rectractor) dan Pillar A lebih kecil selain didatangkan dengan penggunaan tayar tanpa tiub serta kamera undur.

Pengenalan ciri baru itu menjadikan model berkenaan sebagai kenderaan LCV lebih selamat. Kenderaan itu turut dijana enjin diesel 4,009cc suntikan terus empat silinder intercooler turbo, yang mampu menghamburkan kuasa 156PS pada 2,800rpm, manakala tork maksimum 429Nm pada 1,400rpm.

Hino Siri 300 mampu membawa bebanan sehingga lima tan ini turut didatangkan dalam versi transmisi automatik enam kelajuan.

Siri baru ini menawarkan empat model pilihan antaranya XZU720LC berharga RM129,800, XZU730LA (RM126,700), XZU640K (RM91,600) dan XZU600J berharga RM81,200.

(myMetro)

[4621696]

Facebook Comments