Gabungan dua dan empat roda



Aktiviti sukan bermotor kini menjadi satu cabang riadah sihat bagi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, usia dan latar belakang.

Bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor, baru-baru ini, Kelab Belia Millenium (MYCLUB) dengan kerjasama Velocita Park dan HF3 menganjurkan acara sukan bermotor berkonsepkan dua roda dan empat roda bertujuan mengumpul peminat automotif tempatan mempamerkan bakat serta kreativiti masing-masing.

Selain pameran kenderaan, acara dipertandingkan sepanjang dua hari itu termasuk sprint test, drift, gymkhana motosikal dan perlumbaan pocket bike.

Seramai 5,000 pengunjung turut berkesempatan menyaksikan pelbagai jentera unik dan menarik yang diubah suai secara ekstrem selain pameran sistem audio.

Program yang mendapat sambutan daripada beberapa negeri lain turut mendapat perhatian ahli kelab kereta, motosikal dan pemilik motosikal berkuasa tinggi.

Presiden MYCLUB, Azmir Yuzaimi Mohd Yunus berkata, program yang mula dianjurkan sejak 2002 bertujuan membudaya dan mempromosikan sukan bermotor kepada rakyat tempatan.

“Umum mengetahui aktiviti seumpama ini sering mendapat sambutan tanpa mengira umur dan jantina, malah sudah mula menjadi satu aktiviti rekreasi seisi keluarga.

“Jadi, program ini turut menggalakkan penyertaan sukan bermotor bagi semua lapisan masyarakat tanpa mengira ideologi politik atau agama,” katanya.

Katanya, program yang mendapat sokongan pelbagai pihak itu turut menjadi platform bagi pemilik jentera dua dan empat roda untuk berkumpul dalam satu acara.

“Jarang sekali kita dapat gabungkan pemilik dua dan empat roda kerana kebiasaannya aktiviti dijalankan secara berasingan. Secara tidak langsung menimbulkan minat terhadap sukan bermotor bagi pengunjung,” katanya.

Terdahulu, program berkenaan dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi MAEPS, Datuk Dr Mohamad Satim Diman.

(myMetro)

[4621723]

Facebook Comments