Layari internet dalam kereta


Selaras dengan janji pelanggan diutamakan, Proton Holdings Bhd (Proton) menawarkan Pelan Proton YES Altitude bagi membolehkan setiap penumpang melayari kemudahan jalur lebar di mana-mana sahaja.

Menerusi kemudahan itu, pelanggan Proton berpeluang mendapatkan pakej data Internet 16GB setiap bulan secara percuma selama 12 bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pelan itu diperkenalkan hasil kerjasama Proton bersama YTL Communications Sdn Bhd (YTLC).

“Tawaran 12 bulan percuma ini sah dengan sebarang pembelian varian Executive ke atas bermula dari tarikh kenderaan didaftarkan.

“Promosi ini mampu menambah pengalaman bersama kerana ia membolehkan pelanggan berhubung melalui liputan mudah alih dengan fungsi Internet pantas,” katanya pada majlis pelancaran di Shah Alam, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif YTLC, Datuk Yeoh Soo Keong dan Ketua Pegawai Eksekutif YTLC, Wing K Lee.

Beliau berkata, tawaran itu hanya sah sementara stok masih ada dan pihaknya yakin dapat memberi manfaat kepada pelanggan melalui rangkaian YES sebagai peneraju global bagi Internet 4G.

“Pakej ini membabitkan 4G LTE dan VoLTE serta jalur lebar 4G merangkumi liputan 85 peratus negara.

“Pelanggan juga boleh memuat turun aplikasi MyProton dengan telefon pintar YES Altitude 4G LTE untuk memandu uji kereta, membuat temu janji servis dan mendapatkan maklumat mengenai kereta Proton serta tawaran yang berlangsung,” katanya.

Menurut Ahmad Fuaad, pihaknya percaya teknologi dan pembangunan kereta sering berkait rapat.

“Memandangkan penggunaan telefon pada zaman ini dianggap sebagai satu kemudahan di hujung jari, pelanggan kini boleh memuat turun aplikasi MyProton dengan telefon pintar YES Altitude 4G LTE.

“Kami melihat promosi ini untuk menambah lagi pengalaman bersama pakej Proton YES Altitude 4G LTE yang membenarkan penumpang berhubung melalui liputan mudah alih dengan fungsi Internet pantas,” katanya.

Sementara itu, Wing berkata, pihaknya memuji wawasan Proton sebagai pemimpin industri untuk menyediakan gaya hidup mudah alih berhubung untuk pelanggan dan berbangga menjadi sebahagian daripada kerjasama yang dijalinkan sejak 2011.

(myMetro)

[4621679]

Facebook Comments