Al-Azhar, Jordan kutuk serangan di Kanada

KAHERAH: Institusi terkemuka Mesir, Universiti Al-Azhar dan Jordan, mengutuk serangan di sebuah masjid di Quebec, Kanada, semalam, yang mengorbankan enam jemaah.

Lelaki bersenjata menyerbu Pusat Kebudayaan Islam di Quebec, malam Ahad, membunuh enam jemaah dan mencederakan lapan yang lain sebelum polis menahan dua suspek.

Al-Azhar dalam kenyataannya menyebut, serangan itu berunsur kebencian, menjurus kepada perpecahan, kebencian, perkauman selain mewujudkan tapak subur terhadap keganasan dan pelampau.

Institusi terkenal itu menggesa supaya tempat ibadat dilindungi daripada sebarang pencerobohan.

“Pertumpahan darah, tidak kira jantina, kepercayaan atau warna, adalah sesuatu dilarang agama dan ditolak dalam semua undang-undang, norma, piagam antarabangsa dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, pemerintah Jordan, Raja Abdullah II menerusi satu mesej kepada Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, menggesa kerjasama lebih kukuh di peringkat antarabangsa menangani insiden keganasan seumpama itu.

“Jordan bersama Kanada susulan serangan ganas keji itu,” katanya.

Serangan ke atas masjid itu berlaku selepas Kanada berikrar membuka pintu kepada penduduk Islam dan pelarian susulan larangan kontroversi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. – AFP

(BHONLINE)

[4581586]

Facebook Comments