JTS patahkan aktiviti pindah pasir tanpa permit di Sri Aman, Bintulu

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) berjaya mematahkan dua aktiviti pemindahan bahan pasir tanpa kelulusan dalam serbuan berasingan di Sungai Paloh, Abok di Sri Aman dan juga di Jalan Kidurong, Bintulu

Menurut kenyataan akhbar semalam, operasi oleh Unit Penguatkuasaan di Sri Aman dijalankan pada jam 1.35 petang Isnin, manakala di Bintulu, sekitar jam 2.24 petang Selasa.

Dua operasi berasingan itu turut menyaksikan dua jentera yang digunakan dalam aktiviti berkenaan disita sebagai bahan bukti.

Kedua-dua kejayaan itu adalah hasil daripada risikan awal yang telah dibuat oleh pihak jabatan.

Kesemua kes akan disiasat di bawah Seksyen 32A Kanun Tanah Negeri (Bab 81).

Orang ramai yang ingin melakukan aktiviti pengorekan atau pemindahan bahan batuan dinasihatkan untuk merujuk terlebih dahulu ke Pejabat Tanah dan Survei berhampiran untuk nasihat lanjut bagi mengelak sebarang tindakan penguatkuasaan.

Orang ramai turut dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti itu kepada Jabatan melalui talian 082-444111 (ibu pejabat) atau 555999 atau perkhidmatan Talikhidmat melalui laman web www.talikhidmat.sarawak.gov.my.

(BorneoPost online)

[4566378]

Facebook Comments