Lapan sekolah di Baram dan Beluru terjejas akibat banjir

BERTAHAN: Dennis (empat kiri) ketika melawat penduduk dan rumah panjang di Long Luyang, Tinjar semalam.

MIRI:Sebanyak lapan sekolah rendah di kawasan Baram dan Beluru terjejas banjir dengan empat daripadanya ditutup semalam manakala empat lagi masih beroperasi sehingga tamat waktu persekolahan tengah hari semalam.

Bilik Gerakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baram ketika dihubungi Utusan Borneo dari sini semalam mengesahkan dua sekolah dilapor ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jegan yang mempunyai seramai 95 murid dan SK Kuala Bok di Tinjar (65 murid). Manakala bilik gerakan di sini pula melaporkan tiga lagi sekolah rendah turut ditutup ekoran banjir.

Residen Bahagian Miri, Antonio Khati Galis ketika dihubungi semalam, memberitahu dua sekolah ialah SK Long Sobeng mempunyai seramai 29 murid, SK Long Luyang di Baram, yang mempunyai seramai 117 murid.

“Sekolah ini ditutup semalam ekoran hujan lebat telah menenggelamkan kawasan sekolah,”katanya dan memberitahu tiada pemindahan mangsa banjir dilakukan setakat ini.

Jelasnya, keadaan masih terkawal namun beliau terus mengingat orang ramai khususnya kawasan rendah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada.

Turut terjejas akibat banjir semalam, namun masih dapat beroperasi ialah empat lagi sekolah rendah iaitu SK Pengarah Enteri, (151 murid), SK Teran Kanan (153 murid), SK Long Teru (54 murid) dan SK Sungai Bong, seramai 107 murid sekolah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, memberitahu Utusan Borneo di sini semalam, di kawasan beliau, sebanyak tiga lokasi kini berdepan dengan situasi banjir dengan lebih 1,000 penduduk turut terjejas serta memerlukan bantuan segera.

Beliau berkata, tiga kawasan terjejas dan terputus hubungan di Tinjar itu ialah Long Sobeng, Long Loyang dan Long Batan.

“Ketika ini hanya Long Loyang sahaja sudah menerima bantuan kecemasan, semasa lawatan saya ke perkampungan tersebut siang tadi (semalam),” katanya sambil menambah kesemua mangsa pada masa ini masih tinggal di rumah panjang masing-masing.

Beliau meminta penduduk berwaspada sambil turut mengingat penduduk kawasan rendah seperti Apoh, untuk mengambil langkah berjaga-jaga jika paras air semakin naik.

Dalam pada itu, beberapa lokasi di Miri juga turut dilanda banjir kilat dengan air memenuhi jalan sekitar kawasan Krokop, Jalan Cahaya di Lopeng, Kampung Luak serta Jalan Permaisuri dan SK Sayed Othman di pusat bandar.

Orang ramai mengadu banjir kilat yang terjadi ekoran hujan lebat yang turun selama dua jam pada sebelah petang semalam, dipercayai akibat sistem perparitan yang kurang lancar.

Sementara di Marudi, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Marudi, juga Pegawai Daerah Marudi, Mackos Sibong memberitahu Bilik Gerakan Bencana Banjir daerah setakat ini belum menerima laporan mengenai beberapa kawasan atau rumah panjang di daerah itu yang ada di landa banjir.

Kali terakhir banjir kilat berlaku katanya, pada malam Sabtu lalu, yang melanda lapan rumah panjang di Sungai Nawang dan Sungai Dabai dekat ini, menyebabkan penduduk salah satu rumah panjang, Rumah Adam terpaksa dipindah ke pusat pemindahan banjir di Dewan Suarah Marudi.

Manakala pada malam Ahad pula, seramai 11 mangsa banjir dari Rumah Lansam di Sungai Dabai pula dibawa ke pusat pemindahan banjir di Dewan Suarah Baram, namun dibenar pulang pada tengah hari kelmarin selepas banjir surut.

“Pada masa ini, keadaan air di Batang Baram terkawal walaupun berlaku hujan turun lebat tetapi ia belum menyebabkan berlakunya banjir.

“Namun kita tetap berwaspada dan memantau situasi dari semasa ke semasa terutama apabila paras air mulai menaik,” katanya lagi. Sementara itu Pegawai Daerah Telang Usan, Baru Tai yang sempat dihubungi memberitahu kawasan di Baram Tengah dan kawasan berdekatan dengan Pekan Long Lama, masih dalam situasi terkawal namun berjaga-jaga.

(BorneoPost online)

[4566377]

Facebook Comments