Zon bebas asap rokok perlu pewartaan kawasan

Pelaksanaan bukan penguatkuasaan, sebaliknya usaha pupuk kesedaran terhadap kempen kesihatan

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

TAHNIAH: Abdul Wahab menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan penambahbaikan perkhidmatan bahagian pelesenan pada majlis itu.

KUCHING: Pengwujudan zon bebas asap rokok di bandar raya ini memerlukan proses pewartaan kawasan sebelum program kesedaran itu dilaksanakan.

Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai berkata, ia merupakan langkah awal untuk mewujudkan kawasan bebas daripada pencemaran asap rokok terutama di premis makanan.

Mengulangi kenyataannya sebelum ini, Abang Abdul Wahab berkata pelaksanaan tersebut bukannya penguatkuasaan sebaliknya, kesedaran terhadap kempen kesihatan.

“Apa yang kita buat ini ialah mewujudkan tempat-tempat bebas asap rokok di Kuching.

“Kita tidak boleh pergi ke kawasan tertentu lalu mengatakan lokasi ini bebas asap rokok, kawasan ini pula zon bebas rokok. Apa yang penting, kawasan itu perlu diwartakan terlebih dahulu,” katanya.

Abang Abdul Wahab berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Ibu Pejabat DBKU, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, perancangan tersebut telah mendapat sokongan daripada pengusaha premis bersama DBKU dalam mewujudkan zon bebas asap rokok.

“Tidak dinafikan perokok mempunyai hak-hak mereka sendiri untuk merokok, tetapi kalau boleh kita mahu bekerjasama dengan pengusaha premis untuk menyediakan satu tempat khas untuk merokok,” katanya.

Menurut Abang Abdul Wahab, pelbagai kaedah boleh diguna pakai dalam usaha mengatasi isu merokok di tempat awam.

Malah, perangkaan strategi untuk mewujudkan zon bebas asap rokok juga disifatkan perlu bagi mendidik serta memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya perokok.

“Sebagai contoh di Pulau Pinang, zon merokok ada disediakan yang mana perokok duduk di suatu tempat dalam bulatan untuk merokok.

“Saya tidak tahu sama ada akan buat dengan cara tersebut, namun banyak lagi kaedah lain yang boleh digunakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abang Abdul Wahab mendedahkan DBKU akan menganjurkan Pesta Cap Goh Mei pada 11 Februari depan bagi memeriahkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2017 di kawasan lapang Ban Hock Wharf, Jalan Gambir.

Justeru, beliau berharap seluruh warga kerja DBKU terus menerapkan semangat serta mengekalkan amalan budaya dan kerjasama yang padu dalam usaha menjadikan DBKU sebagai sebuah entiti yang unggul.

(BorneoPost online)

[4566376]

Facebook Comments