Kekentalan Demerson didamba

David sandar pertahanan kekang asakan Kedah pada aksi Liga Super malam esok

// Oleh Harry Ilias //

TINGKAT PERSIAPAN: Demerson gigih meningkatkan stamina sebagai persiapan menghadapi Kedah esok.

KUCHING: Pemain pertahanan dari Brazil Demerson Bruno Costa menjadi sandaran Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop untuk mengekang asakan penyerang Kedah apabila kedua pasukan itu bersemuka pada perlawanan kedua Liga Super esok di Stadium Darul Aman.

Menurut David, setakat ini beliau berpuas hati dengan aksi ditunjukkan Demerson pada perlawanan pembukaan menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu lepas yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan persembahan Demerson pada perlawanan menentang TTeam tempoh hari.

“Beliau kental mengekang asakan lawan dan menunjukkan kombinasi yang baik dengan Ronny Harun di bahagian pertahanan,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.

David berkata, sikap Demerson yang rajin membantu rakan sepasukan selain sentiasa ‘commanding’ ketika beraksi menjadi aset penting Sarawak untuk menghadapi Kedah.

“Saya berharap beliau dapat mengekalkan corak permainan sama apabila berdepan Kedah esok,” katanya.

Dalam nada berbeza, David akui penyerang import Mateo Roskam dan Mark Andrew Hartmann masih belum menemui keserasian yang mantap selepas diuji pada perlawanan pertama minggu lepas.

Bagaimanapun, beliau optimis kedua-dua ayam tambatannya itu akan menemui rentak pada aksi seterusnya.

“Kedua-keduanya masih memerlukan masa untuk membentuk keserasian yang berkesan di depan gol.

“Namun saya tetap berpuas hati dengan apa yang mereka tunjukkan pada perlawanan pertama meskipun kita terlepas deretan peluang untuk menjaringkan gol,” ujar David sambil berharap kedua penyerang itu dapat mempertajamkan lagi penyudah mereka.

Selepas mengutip satu mata berharga pada minggu lepas, Sarawak sekali lagi berdepan tugas getir apabila menjadi tetamu juara Piala Sumbangsih 2017, Kedah di Stadium Darul Aman esok (27 Januari).

Perlawanan kedua-dua pasukan akan bermula pada jam 9 malam.

(BorneoPost online)

[4566343]

Facebook Comments