Inisiatif tangani obesiti di kalangan kanak-kanak

Tadika KEMAS di Bau dan Lundi menjadi projek perintis program Kajian ToyBox Malaysia di Sarawak

// Oleh Jessica Jawing //

KUNJUNGAN: Poh (tiga kanan) bersama ahli rombongan merakam kenangan ketika mengunjungi Fatimah (tengah), semalam. Turut kelihatan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (empat kanan) dan Ketua Projek ToyBox Eropah, Dr Leigh Gibson (tiga kiri).

KUCHING: Sepuluh tadika KEMAS masing-masing lima di Bau dan Lundu menjadi projek perintis program Kajian ToyBox Malaysia di Sarawak, iaitu kajian tentang mengurangkan berat badan dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Projek ToyBox Malaysia yang juga Pakar Nutrisi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Poh Bee Koon berkata, daripada lima tadika di setiap tempat itu, tiga akan menjalani intervensi sementara dua lagi kawalan bagi tujuan perbandingan.

“Setakat ini, projek masih dalam peringkat mesyuarat rancangan dan akan mengadakan bengkel sebagai penilaian bagi melihat keperluan tadika KEMAS dan komunitinya untuk diadaptasi dengan bahan ToyBox yang kita ada.

“Kita perlu menyesuaikan keadaan tadika KEMAS di Bau dan Lundu termasuk membuat terjemahan bahasa yang sesuai digunakan kerana Kajian ToyBox ini asalnya dijalankan di Eropah dan telah disedia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan ke atas Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah di pejabatnya di sini, semalam.

Poh berkata, selepas persediaan dilakukan, dijangka pada pertengahan tahun mereka akan turun padang untuk membuat penilaian praintervensi bagi melihat keadaan kanak-kanak dari segi pertumbuhan serta kesihatan mereka.

“Pelaksanaan kajian dijalankan dalam tempoh enam bulan iaitu setiap minggu keempat dengan memfokuskan amalan minum air, aktiviti fizikal yang aktif, pilihan makanan sihat dan mengurangkan aktiviti duduk di rumah seperti bermain komputer.

“Selepas empat bulan menjalankan intervensi, kita akan mengulang semula setiap komponen sepanjang dua minggu agar kanak-kanak tidak lupa,” jelasnya.

Poh berkata, selesai enam bulan pelaksanaan Kajian ToyBox, pihaknya akan balik semula ke tadika KEMAS untuk mengukur penilaian dari segi aktiviti fizikal, pertumbuhan, kesihatan dan cara pemakanan, bagi menilai keberkesanan intervensi.

Menurut beliau, Malaysia merupakan negara paling tinggi dari segi obesiti di Asia dan Asia Tenggara dengan golongan kanak-kanak serta remaja adalah antara peratusan tertinggi.

“Jika kita membuat kajian bersama dewasa ia mungkin kurang berjaya tetapi kanak-kanak adalah peringkat terbaik iaitu prasekolah kerana mereka dapat menerima banyak maklumat dengan baik,” katanya

Sementara itu, Fatimah berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan kajian berkenaan di Sarawak dengan apa sahaja langkah yang berkesan serta membantu mengurangkan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

“Dengan kajian ini, jika ia berkesan kita akan perkembangkan ke tadika lain di Sarawak bukan sahaja tadika KEMAS tetapi prasekolah lain.

“Konsepnya mudah sahaja iaitu merangkumi pemakanan dan aktiviti, selain melibatkan kanak-kanak, ibu bapa, guru dan komuniti,” katanya.

(BorneoPost online)

[4566331]

Facebook Comments