Rai perayaan bersama kukuh perpaduan

Sambutan TBC salah satu mekanisme 1Malaysia promosi keharmonian, kesejahteraan

// Oleh Judan Bungap //

RAIKAN BERSAMA: Lau (dua kiri) sereta (dari kanan) Robert, Teresa dan Wong menyampaikan angpau kepada kanak-kanak Tadika Yakin Diri YMCA di Taman Permai, semalam.

SIBU: Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang dirai bersama masyarakat majmuk adalah salah satu mekanisme penting yang mengadaptasikan konsep 1Malaysia dalam mengukuhkan lagi keharmonian.

Presiden YMCA Sibu Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming berkata, budaya ini juga mampu mengelakkan konflik perkauman dalam memastikan kelestarian pembangunan negara.

“Musim perayaan adalah peluang yang penting untuk kita mempromosikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat pelbagai kaum kepada generasi muda.

“Ia juga menjadi landasan untuk kita lebih memahami antara satu sama lain,” katanya semasa Majlis Sambutan Pra Tahun Baharu Cina Tadika Yakin Diri YMCA di Taman Permai, semalam.

Mengambil contoh tadika tersebut, Lau berkata, warga Tadika Yakin Diri telah menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina satu kemestian untuk diraikan bersama rakan-rakan dari kaum lain setiap tahun.

Katanya, ianya memberi gambaran yang jelas dalam usaha membimbing kanak-kanak mewujudkan keharmonian kaum bermula dari peringkat awal.

“Tadika Yakin Diri merupakan contoh terbaik selain bersama meraikan Tahun Baharu Cina juga membolehkan kaum lain memahami budaya masyarakat Cina dengan lebih dekat,” ujarnya.

Lau turut menyatakan penghargaan kepada ibu bapa terutama Bumiputera kerana yakin menghantar anak mereka untuk belajar di tadika tersebut walaupun asas pelajaran berteraskan Bahasa Cina.

“Ini juga contoh perpaduan antara kaum yang baik dan jelas bagi masyarakat kita di Sibu.

“Di samping itu, kita memberi jaminan bahawa tenaga pengajar di tadika ini merupakan terlatih dan profesional dalam memberi pendidikan berkualiti,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga berharap ibu bapa kanak-kanak tadika tersebut dapat meningkatkan kerjasama untuk menghadapi cabaran dalam memastikan kejayaan tadika.

“Kemungkinan tahun 2017 tahun yang mencabar bagi kita seperti tahun yang lepas.

Tetapi kita perlu berusaha dan berganding bahu supaya tadika ini mampu memberikan pendidikan terbaik,” kata beliau.

Hadir sama, Naib Presiden YMCA Sibu Robert Lau Hui Yew, ahli lembaga pengarah YMCA Sibu Wong Ei Sing dan guru besar Tadika Yakin Diri YMCA Teresa Lau.

(BorneoPost online)

[4566335]

Facebook Comments