Tukar MDLBS jadi MDS, buka skop perkhidmatan lebih luas

SIBU: Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai mencadangkan supaya MDLBS ditukar nama sebagai Majlis Daerah Sibu.

Sempurai berkata, ia bertujuan memberi pengertian serta tanggapan lebih dalam terhadap skop pentadbiran dan perkhidmatan kepada rakyat di bawah bidang kuasanya.

Katanya, MDLBS harus dicermin sebagai sebuah majlis daerah separa bandar dan bukannya majlis luar bandar.

“Untuk mara lebih jauh ke hadapan, saya berpendapat MDLBS perlu menjadi sebuah majlis daerah yang lebih besar sejajar dengan kerancakkan pembangunan di dua buah bandar seliaannya iaitu Sibu Jaya dan Selangau.

“Ini adalah saat paling sesuai untuk MDLBS diberi penjenamaan semula dengan membuang perkataan ‘luar bandar’ dan ditukar kepada Majlis Daerah Sibu,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan MDLBS malam kelmarin.

Menurut Sempurai, ditubuhkan sejak tahun 1940-an, MDLBS pada mulanya dikenali sebagai ‘Dayak Local Authority’ dan dipengerusikan oleh Penghulu Imai.

Kemudian, semasa di bawah pentadbiran pegawai Koloni British, nama MDLBS telah diubah kepada ‘Local Authority Sibu’ dan seterusnya ditukar kepada ‘Majlis Daerah Luar Bandar Sibu.’

Untuk rekod, MDLBS menyelia enam buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bawang Assan, Dudong, Tamin, beberapa bahagian Kakus, Nangka dan Bukit Assek.

Tambah Sempurai, dengan keluasan tersebut ini bermakna kawasan seliaan MDLBS menyamai kuasa tadbir sebuah bahagian.

“Tetapi, di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan hanya terdapat tiga peringkat majlis iaitu ‘Majlis Bandaraya,’ ‘Majlis Perbandaran’ dan ‘Majlis Daerah,” jelas beliau sambil menambah MDLBS masih dalam peringkat Majlis Daerah.

“Sungguhpun demikian, MDLBS sentiasa berusaha memperbaiki kualiti perkhidmatannya biarpun dalam keadaan peruntukkan kewangan dan kakitangan yang terhad,” jelas beliau.

Bercakap lanjut, Sempurai memberitahu dalam enam bulan pertama ahli dan kakitangan MDLBS berjaya mencapai Indeks Prestasi Utama (NKRA) bagi 2016.

Berdasarkan statistik dari September 2016 sehingga November 2016, terdapat 170 aduan telah diterima sama ada dari ahli majlis atau orang ramai.

Sebanyak 120 daripada aduan tersebut telah berjaya diselesaikan atau sekurang-kurangnya diambil tindakan oleh MDLBS.

Kira-kira 40 laporan bagaimanapun masih dalam proses pengesahan dan 10 lagi laporan dibuat adalah milik agensi lain.

(BorneoPost online)

[4566329]

Facebook Comments