Malaysia, New Zealand bincang kerjasama imigresen, migrasi

KUNJUNGAN: Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Michael Woodhouse (kiri) di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia dan New Zealand semalam membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang imigresen serta berkongsi perspektif dalam menangani isu migrasi.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri yang menerima kunjungan hormat Menteri Imigresen New Zealand Michael Woodhouse di pejabatnya di bangunan Perdana Putra di sini.

“Isu migrasi merangkumi aspek pergerakan manusia secara tidak sah termasuk penyeludupan migran,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Timbalan Perdana Menteri sempena kunjungan hormat itu.

Woodhouse dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

Malaysia dan New Zealand menjalin hubungan diplomatik sejak 25 Sept 1957 dan tahun ini merupakan ulang tahun ke-60 hubungan berkenaan.

Hubungan dua hala Malaysia dan New Zealand meliputi pelbagai bidang kerjasama seperti perdagangan, pelaburan, pertahanan, pendidikan, pelancongan dan alam sekitar.

Menurut kenyataan itu, dari sudut keselamatan serantau dan jenayah rentas sempadan, Malaysia dan New Zealand telah bekerjasama menerusi platform Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN mengenai jenayah rentas sempadan.

Ini adalah kerana New Zealand merupakan satu daripada negara rakan dialog ASEAN, kata kenyataan itu. — Bernama

(BorneoPost online)

[4566346]

Facebook Comments