Akses dan jaringan Internet lebih mantap pemacu agenda ekonomi digital negara

PUTRAJAYA: Hasrat rakyat negara ini untuk menikmati capaian Internet yang lebih baik di samping jaringan keterhubungan yang lebih mantap, bakal menjadi kenyataan apabila pelbagai projek berasaskan infrastruktur jalur lebar seperti Peluasan Liputan Jalur Lebar Mudah Alih dan Talian Tetap, siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Itu jaminan yang diberikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Bercakap kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet di sini semalam, Salleh berkata apabila siap sepenuhnya kesemua projek tersebut, peningkatan liputan jalur lebar di kawasan yang berpenduduk di seluruh negara dijangka mencecah ke tahap 93 peratus menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan akan menelan belanja RM1 bilion seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2017 Oktober tahun lalu.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada agenda utama dan komitmen kerajaan untuk memastikan semua penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar walau di mana sahaja mereka berada selain memacu Malaysia ke arah sebuah ekonomi digital,” katanya.

Di bawah inisiatif Peluasan Liputan Jalur Lebar Mudah Alih, 300 menara komunikasi baharu akan dibina di kawasan yang tiada atau kurang liputan selain penaiktarafan perkhidmatan 4G-LTE di 400 lokasi menara sedia ada di negara ini, katanya.

Salleh berkata di bawah inisiatif Peluasan Jalur Lebar Talian Tetap pula, ia melibatkan pemasangan gentian optik dan penaiktarafan ibu sawat di kebanyakan kawasan pinggir dan luar bandar.

“Menerusi inisiatif berkenaan, 35 ribu sambungan jalur lebar talian tetap yang mampu menyediakan capaian internet dengan kelajuan sehingga 20 megabit sesaat akan disediakan bermula akhir 2017.

“Pada masa sama juga, pemasangan sistem kabel dasar laut ke Pulau Pangkor dan Tioman untuk penyediaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi akan turut dilaksanakan,” kata beliau.

Salleh juga berkata perancangan untuk mencapai sasaran tersebut turut dijalin secara strategik dengan sektor swasta dalam pelaksanaan projek seperti Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 2 (HSBB 2) dan Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB).

“Dengan terlaksananya projek-projek sedemikian, pelbagai manfaat dapat dinikmati. Antaranya, para penduduk bukan sahaja boleh menikmati kualiti perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik bahkan juga pengalaman yang mesra pelanggan dan memberi nilai tambah kepada mereka,” katanya.

Salleh berkata pelaksanaan projek tersebut juga dapat merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar sekali gus menambah baik tahap sosioekonomi masyarakat setempat.

“Dalam konteks ini, para penduduk boleh memanfaatkan perkhidmatan jalur lebar untuk memasarkan produk-produk keluaran mereka secara dalam talian mahupun meningkatkan sumber pendapatannya,” katanya. — Bernama

(BorneoPost online)

[4566337]

Facebook Comments