SOP, piawaian ditetapkan hadapi gelombang kedua banjir: TPM

Berdasarkan Jabatan Meteorologi ia berlaku sepanjang Jan hingga Mac

PUTRAJAYA: Kesiapsiagaan jentera bantuan banjir yang dibentuk di peringkat nasional, negeri, daerah dan di pusat pemindahan bagi menghadapi gelombang kedua banjir ketika ini adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan piawaian ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata antara piawaian tersebut adalah mengenai khemah di penempatan sementara banjir dan makanan yang berbeza berbanding pada musim banjir yang lalu.

“Makanan yang akan disediakan di penempatan sementara banjir tidak lagi seperti dahulu iaitu hanya mi segera dan sardin.

“Bagi memastikan persediaan pada kali ini adalah pada tahap optimum, agensi bantuan banjir mengambil pendekatan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan beberapa agensi lain selain syarikat swasta,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai gelombang kedua banjir di pejabatnya di sini semalam selepas menerima kunjungan hormat Menteri Imigresen New Zealand Michael Woodhouse.

Timbalan perdana menteri berkata beliau akan melakukan pemantauan dan menentukan mobilisasi agensi bantuan yang sesuai termasuklah penggunaan jentera berat seperti lori lasak Tetra oleh Kementerian Pertahanan sepanjang gelombang kedua banjir.

“Turut akan digerakkan ialah dapur bergerak,” katanya.

Beliau berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam menentukan koordinasi bantuan semasa dan pascabanjir gelombang kedua.

Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa khuatir dengan fenomena gelombang kedua banjir kali ini apabila pantai barat Semenanjung turut berisiko dilanda banjir disebabkan angin yang bertiup dari arah timur laut melepasi Banjaran Titiwangsa selain terdapat tiupan angin dari arah barat laut.

“Justeru, kesiapsiagaan semua agensi bantuan bencana bagi menghadapi keadaan itu sudah dilakukan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi, gelombang kedua banjir akan terjadi sepanjang Januari hingga Mac.

Gelombang kedua banjir yang sedang berlaku adalah disebabkan angin timur laut yang datang dari China yang melintasi Laut China Selatan dan sampai ke pantai timur Semenanjung selain Sabah dan Sarawak, katanya.

Selain negeri-negeri di pantai timur Semenanjung, gelombang kedua banjir turut melanda Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. — Bernama

(BorneoPost online)

[4566341]

Facebook Comments