CISCA, School of Skateboarding teruskan inisiatif bangun sukan papan selaju, kata Farouk

KUCHING: Selepas sambutan menggalakkan terhadap Old Court House Skate Jam 2016 pada Disember lepas, Kelab Papan Selaju Dewan Suarah (CISCA) dan School of Skateboarding akan meneruskan inisiatif untuk membangunkan lagi sukan papan selaju di sini.

Ini melalui penganjuran pertandingan mini bulanan yang akan berlangsung bermula Januari ini hingga 17 November 2017.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden CISCA, Mohamad Farouk Tufail Mahmud semalam.

Menurut Farouk, pemenang pada setiap bulan akan berentap pada pertandingan akhir yang akan diadakan pada Disember 2017.

Ia disusuli dengan Anugerah Skater Of The Year 2017 yang akan diadakan pada pertandingan akhir tersebut.

“Idea penganjuran pertandingan ini dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Yang Berhormat Fazzrudin Abdul Rahman yang mahu sukan papan selaju di Sarawak terus maju ke hadapan.

“Kita juga merakamkan setinggi penghargaan terhadap YB kerana menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap aktiviti anjuran CISCA dan School of Skateboarding,” katanya semalam.

Menurutnya, pertandingan itu juga bertujuan mencungkil bakat-bakat dalam kalangan peluncur tempatan di mana pemenang akan dibawa menyertai pertandingan di luar negara pada masa akan datang.

Antara venue yang dipilih adalah Singapura, Indonesia dan Thailand, ujar Farouk lagi.

(BorneoPost online)

[4566293]

Facebook Comments