Pemandu lori membawa 230 batang kayu bergergaji diberkas polis

DICEKUP: Lori sarat dengan muatan kayu bergergaji tidak mempunyai cop milikan sah ditahan oleh PPM di Batu 10, Jalan Bintulu-Miri petang Isnin lalu.

BINTULU: Cubaan seorang pemandu lori membawa sebanyak 230 batang kayu bergergaji jenis belian tidak mempunyai tanda milik sah tumpas setelah ditahan Polis Marin Wilayah Lima dalam pemeriksaan di Batu 10, Jalan Bintulu-Miri Isnin lalu.

Menurut maklumat dikeluarkan Komandernya, ACP Salehuddin Mat Zaman pasukannya menahan lori terbabit menggunakan laluan itu kerana didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut muatan kayu gergaji dianggarkan bernilai RM32,200 itu turut mendapati kayu belian itu tidak mempunyai sebarang tanda milikan sah daripada Jabatan Perhutanan Sarawak mengesahkannya diperolehi secara haram,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung kayu bergergaji itu.

“Pemandu lori merupakan warga tempatan dibawa bersama lori sarat dengan muatan kayu bergergaji itu dibawa ke Pangkalan PPM Bintulu bagi tindakan selanjutnya,” ujar beliau.

Orang awam diminta menghubungi atau melaporkan ke kaunter PPM berdekatan sekiranya terlihat sebarang aktiviti pembalakan haram atau mengangkut kayu balak tidak mempunyai tanda sah.

(BorneoPost online)

[4561845]

Facebook Comments