Diserang ketika makan

Oleh Jeremy Lanson//

TULAR: Rakaman CCTV yang dimuat naik ke laman Facebook.

KUCHING: Sepasang suami isteri cedera dibelasah sekumpulan lelaki ketika sedang makan malam di sebuah restoran di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC) di sini, malam kelmarin.

Menurut sumber, insiden berlaku sekitar jam 8.30 malam apabila pasangan berkenaan yang berusia sekitar 40-an didatangi seorang wanita dan seorang lelaki dipercayai suami isteri yang kemudian bertindak menyerang mereka.

Situasi bertambah tegang apabila lebih ramai suspek menyerbu masuk ke dalam restoran tersebut dan membelasah mangsa dan isterinya yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham semasa mangsa menagih hutang.

“Terdahulu, mangsa dan isterinya dipercayai menagih hutang daripada sepasang suami isteri (suspek) sehingga menyebabkan perselisihan faham apabila isteri mangsa dikatakan bertindak menampar si isteri (suspek).

“Susulan kejadian itu, pasangan (suspek) yang tidak berpuas hati dengan insiden itu bertindak menyerang balik mangsa dan isterinya bersama sekumpulan lelaki di restoran berkenaan,” kata sumber.

Insiden itu menjadi tular apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran yang berdurasi kira-kira dua minit dimuat naik ke laman sosial.

Difahamkan, laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan semasa dihubungi mengesahkan insiden pergaduhan tersebut dan memberitahu siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.

“Seorang lelaki (mangsa) berusia lingkungan 40-an telah cedera akibat dipukul oleh beberapa orang lelaki dan dia telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

“Bagaimanapun, siasatan berhubung kejadian masih dijalankan dan punca kejadian masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Justeru, Aidil memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan.

“Kita mohon saksi untuk tampil membantu siasatan kerana rakaman CCTV yang diperolehi agak kurang jelas dan sekarang, kita juga sedang mengesan suspek yang turut bertindak memukul mangsa,” kata Aidil.

(BorneoPost online)

[4561839]

Facebook Comments