Dua dicekup, disyaki miliki motosikal curi

KENA CEKUP: Dua suspek warga asing dirujuk ke Balai Polis Sentral untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut.

SIBU: Pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kanowit berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia kerana disyaki memiliki dua motosikal curi yang dilaporkan hilang dalam satu operasi di Jalan Nibong Tada, Kanowit petang kelmarin.

Kedua-dua suspek berumur 37 dan 41 tahun ditahan ketika sedang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di Simpang Sedaya sekitar jam 4.30 petang.

Semasa pemeriksaan, polis mendapati sebuah daripada motosikal terbabit pernah dilaporkan hilang di Sibu oleh pemiliknya pada 13 Jun 2013.

Siasatan awal pihak polis mendapati kedua-dua suspek merupakan pekerja sebuah ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua suspek memberitahu mereka membeli motosikal berkenaan daripada seorang rakan senegara yang juga merupakan bekas pekerja ladang di situ.

Bagaimanapun, mereka mendakwa lelaki yang menjual motosikal berkenaan telah pulang ke negara asal.

Difahamkan juga, motosikal tersebut dijual kepada suspek dengan harga RM800 setiap satu.

Kedua-dua suspek telah dirujuk ke Balai Polis Sentral di sini untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah mengesahkan membuat tangkapan dan rampasan tersebut.

“Kes tersebut dirujuk ke Balai Polis Sentral di sini pagi ini (semalam) untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kedua-dua suspek direman tiga hari sehingga 27 Januari ini.

(BorneoPost online)

[4561836]

Facebook Comments