Suspek tetak, bakar akan jalani rawatan psikiatri

KUCHING: Lelaki mengamuk yang bertindak menetak sebelum membakar sebuah rumah sehingga mengorbankan tiga mangsa di Kampung Tumu di Matang akan menjalani rawatan psikiatri bagi menentukan status mentalnya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, polis perlu menyiasat dan menyemak rekod perubatan secara menyeluruh sebelum memastikan sama ada lelaki tempatan itu boleh menjalani perbicaraan atau sebaliknya.

Katanya, polis juga tidak boleh mendedahkan motif kejadian kerana masih di peringkat awal serta masih dalam proses melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kalau kita tengok dari segi logik, tidak ada manusia (waras tergamak) masuk rumah, tetak dan bakar orang. Kita kena lihat mungkin ada sesuatu yang mengganggu pemikiran dia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ops Selamat 10/2017 di Tebingan Kuching, di sini, semalam.

Mazlan turut memuji tindakan pantas pasukan kerana berjaya menangkap suspek pada hari yang sama agar tidak mencederakan masyarakat lain.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mendapati individu yang kelihatan terganggu dari kesihatan mental untuk memaklumkan kepada polis untuk membuat tangkapan di bawah Akta Kesihatan Mental.

Ditanya sama ada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, beliau berkata, bagaimanapun dalam rekod tidak ada maklumat perkara itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai maklumat terkini kes penyebaran fitnah dan penghinaan di laman sosial, terutamanya yang berkaitan dengan kematian bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Mazlan berkata, polis dalam peringkat akhir menyiapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

Menurutnya, tidak ada laporan terbaharu diterima atau tangkapan dibuat sejak 41 laporan diterima yang membabitkan enam tangkapan.

Beliau turut mengeluarkan amaran bahawa pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas individu yang melempar fitnah dan sebagainya dalam alam maya kerana boleh menimbulkan kemarahan masyarakat.

“Kita dari sudut keselamatan kena pastikan perkara ini dikawal sentiasa. Ini kena paham ya, kalau masih gatal tangan, sila (bersedia) untuk ditangkap,” katanya.

(BorneoPost online)

[4561838]

Facebook Comments