Cubaan lelaki larikan barang dari bilik sewa berjaya dipatah

KUCHING: Seorang lelaki berputih mata apabila cubaannya melarikan beberapa barang berharga dari sebuah bilik sewa di Tabuan Jaya di sini berjaya dipatahkan semalam.

Menurut sumber, insiden berlaku sekitar jam 10.30 pagi apabila dua lelaki warga asing yang menyewa bilik berkenaan pulang dari kerja dan mendapati pintu bilik tersebut telah dibuka secara paksa.

“Pada masa itu, tiba-tiba seorang lelaki (suspek) yang tidak dikenali meluru keluar dari dalam bilik tersebut dan membawa satu beg menyebabkan mereka terus menahannya.

“Lelaki (suspek) tersebut bagaimanapun bertindak agresif dan terus memukul seorang daripada mangsa menggunakan sepana sebelum cuba melarikan diri.

“Usahanya itu bagaimanapun tidak berhasil apabila dia (suspek) berjaya ditahan oleh kedua-dua lelaki warga asing tersebut dan pemeriksaan di dalam beg yang dibawa suspek menemui beberapa barang milik mereka,” kata sumber.

Suspek yang berusia sekitar 20-an itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mangsa yang tercedera telah dihantar oleh majikannya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan dan laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat di balai polis berhampiran,” kata sumber.

(BorneoPost online)

[4561837]

Facebook Comments