Hampir 2,000 penduduk enam rumah panjang Hulu Teru terputus hubungan

BANJIR: Keadaan banjir di Rumah Mathew Sigat dan Rumah Henry Gomes di Hulu Teru.

MIRI: Hampir 2,000 penduduk kampung dari enam buah rumah panjang di Hulu Teru, Tinjar terputus hubungan selepas jalan utama menghubungkan Jalan Beluru dan Miri ditenggelami air sedalam tiga kaki sejak beberapa hari lalu.

Rumah panjang terjejas ialah Rumah Abok, Kampung Mulong, Rumah Kalong, Hulu Teru, Rumah Nyurat Kampung Matek, Rumah Takang, Kampung Mempelam, Rumah Henry Gomes, Kampung Mission dan Rumah Mathew Sigat, Lubok Kelambu.

Pemanca Enggah Muga dari Hulu Teru ketika dihubungi semalam memberitahu penduduk kampung itu tidak dapat keluar ke Lapok atau Beluru untuk membeli keperluan harian termasuk makanan.

“Kita berharap agensi berkaitan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menghantar bantuan termasuk makanan kering memandangkan penduduk kampung tidak dapat keluar kerana paras air semakin naik,” katanya.

Enggah menambah, mujurlah sekolah rendah dan klinik kesihatan di kawasan itu tidak terjejas.

Beliau berkata, hujan turun tidak berhenti sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air Sungai Teru melimpah dan menenggelamkan jalan dan rumah panjang di kawasan berhampiran.

Malah, kenderaan besar seperti pacuan empat roda tidak dapat melalui jalan yang sudah ditenggelami air.

Penghulu Kalang Ami ketika dihubungi berkata, padang bola sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Pengarah Entri turut ditenggelami air sedalam empat kaki.

“Manakala Rumah Gomes dan Rumah Mathew teruk ditenggelami air menyebabkan penduduk terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan tinggi jauh dari rumah panjang,” katanya.

Pegawai Daerah Beluru, Mataib Sayu ketika dihubungi berkata beliau masih mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan perkembangan terkini banjir di Beluru dan Tinjar.

(BorneoPost online)

[4561835]

Facebook Comments