Remaja dikhuatiri patah kaki, motosikal terbabas jalan licin

KUCHING: Seorang remaja lelaki dikhuatiri patah kaki kirinya selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Bandar Baru Semariang di sini, kelmarin.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 18 tahun itu semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya sekitar jam 12.15 tengah malam.

“Mangsa menunggang motosikalnya seorang diri apabila dikatakan gagal mengawal motosikal lalu terbabas dipercayai akibat permukaan jalan yang licin.

“Ekoran itu, mangsa dikatakan tercampak beberapa meter dari tempat kejadian,” kata sumber.

Orang ramai yang melihat kejadian tersebut kemudian segera membantu mangsa dan turut menghubungi anggota paramedik.

“Mangsa dikhuatiri patah tulang kaki itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulan EMRS Bomba selepas diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik di tempat kejadian,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HUS.

(BorneoPost online)

[4561813]

Facebook Comments