Laporan Jawatankuasa Teknikal penurunan kuasa belum diulas

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan bahawa Jawatankuasa Pemandu masih menunggu tarikh sesuai untuk pihaknya mengulas Laporan Jawatankuasa Teknikal berhubung penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak.

Dalam kenyataannya semalam, beliau menjelaskan bahawa Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan untuk membincangkan penurunan kuassa itu telah mengadakan mesyuarat ketiga dan kali terakhir pada 1 Disember 2016.

Bagaimanapun, katanya Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan bersama Datuk Seri Anifah Aman masih menunggu Sekretariat, Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan tarikh yang sesuai mengulas lanjut mengenai Laporan Jawatankuasa Teknikal.

Nancy dalam kenyataan tersebut mengulangi pendirian Ketua Menteri Sarawak yang berharap agar mesyuarat tentang penurunan kuasa itu dapat diadakan dalam kadar segera.

Katanya mesyuarakat itu mungkin diadakan pada Februari depan supaya Jawatankuasa Pemandu boleh mengemukakan laporan akhir kepada kabinet untuk arahan selanjutnya dan menunggu keputusan dasar.

Antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal termasuk kewangan, penerokaan minyak, perlombongan dan gas, perundangan, tanah dan hasil tanah, kerja persekutuan dan negeri, pendidikan dan buruh serta perkhidmatan awam negeri.

Menurutnya, isu-isu yang dibincangkan sangat teknikal dan ia memakan masa untuk ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal bersetuju dengannya.

Katanya, ahli-ahli jawatankuasa merupakan pegawai-pegawai daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah.

(BorneoPost online)

[4561815]

Facebook Comments