Pahang ambil sikap berkecuali calon presiden


Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, persatuan itu tetap akan melakukan undian tetapi tidak akan membuat pencalonan.

“Memandangkan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga kekanda saya akan mengundur diri, PBNP memilih untuk tidak mencalonkan mana-mana individu untuk jawatan Presiden dan akan berkecuali.

“Saya tidak mahu kami dituduh, mana-mana individu yang kami calonkan mungkin proksi kepada bekas Presiden. Jadi berkecuali adalah cara terbaik tetapi kami tetap akan mengundi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Memperkenalkan Jersi Pasukan Pahang 2017 di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, jurulatih Pahang, Dollah Salleh dan Pe­ngarah Pembangunan Perniagaan Jaco Asia, Azman Mohamad.

Jersi Pahang ditaja pengeluar kelengkapan sukan dari Jerman, Jako untuk saingan Liga Super musim ini.

FAM bakal mengadakan Kong­res FAM ke-53 pada 25 Mac ini bagi mengadakan sesi pemilihan presiden beserta kepemimpinan baharu badan induk itu.

Antara calon yang dikaitkan dengan kerusi No. 1 FAM itu adalah pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa serta dua tokoh korporat terkemuka negara Datuk Seri Idris Jala dan Tan Sri Tony Fernandes.

Turut dikaitkan dengan jawatan itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Intergriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat yang disyorkan oleh Tunku Ismail.

Tengku Abdul Rahman berkata, PBNP berterima kasih kepada Jako kerana sudi menaja jersi skuad Tok Gajah musim ini.

“Penajaan ini bukan sekadar tajaan semata-mata sebaliknya merupakan kerjasama untuk membawa Pahang dan Jako ke satu tahap yang luar biasa.

“Bukan sahaja tahun ini, untuk tahun 2018 juga kita akan ditaja oleh Jako. Pelan kita sudah ada, rekaan jersinya pun sudah ada, semuanya hasil pemikiran pihak Jako,” katanya.

(Utusan Online)

[4532250]

Facebook Comments