Suara ‘itik serati’ pembuka tirai perbahasan

KUALA LUMPUR: Suara ibarat ‘itik serati’ kerana demam dan penat tidak menjadi penghalang untuk menyuarakan keluhan serta suara rakyat.

Bagaimanapun, suara tenggelam timbul wakil Pemuda UMNO, Datuk Zali Mat Yasin membuatkan perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pagi ini menahan ketawa dan cuba mengunci hilai tawa daripada terkeluar daripada mulut masing-masing.

Mungkin tidak sanggup melihat penyeksaan berkenaan, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, bingkas bangun dari tempat duduknya di atas pentas dan membawakan sebotol air mineral untuk anak buahnya itu.

Zali yang terkejut dengan tindakan ‘chief’ Pemuda UMNO itu berkata: “Inilah bukti pemimpin berjiwa rakyat yang tidak akan sanggup melihat masyarakat terseksa”.

Sebaik meneguk air mineral itu beberapa kali, Zali cuba menarik perhatian ahli dewan dengan menjelaskan beliau demam sejak tiga hari lalu.

“Demam ini tidak akan menghalang saya daripada memikul amanah diberikan pergerakan Pemuda UMNO, selain menyuarakan suara rakyat untuk kita selami bersama,” katanya ketika membahaskan usul pendidikan dan agama, sebentar tadi.

Tersentuh dengan azam pembahas muda itu, Timbalan Pengerusi Tetap, Tan Sri Mohamad Aziz tuntas berkata: “Isi bahas Datuk memang cukup bagus, tapi kami semua tak dapat nak tahan gelak lagi dengar suara Datuk”.

Zali yang ‘merah padam’ kerana usikan itu lantas meminta tempoh lima minit untuk menghabiskan perbahasan sambil tangan kirinya dilihat berulang kali mengurut dada.

(BHONLINE)

[4352857]

Facebook Comments