DUN P.Pinang kecoh, ADUN BN diarah keluar     


GEORGE TOWN, 22 Nov: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini kecoh apabila Datuk Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) diarah keluar dewan kerana ingkar arahan Speaker Datuk Law Choo Kiang.

Law mengarahkan Bentara DUN mengiringi Roslan keluar dari dewan semasa perbahasan usul tergempar bagi mengecam Akta Kesalahan Keselamatan (Kuasa-kuasa Khas) 2012 atau SOSMA, ekoran penahanan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah.

Sebelum itu berlaku ‘perang mulut’ antara Roslan dan Dr Afif Bahardin (PKR-Seberang Jaya) apabila Dr Afif mendakwa kerajaan persekutuan tidak memerlukan UMNO selain menyifatkan pentadbiran negara akan lebih lancar tanpa parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Law mengarahkan Roslan untuk duduk namun beliau enggan berbuat demikian sebelum mengarahkannya keluar dewan dan kemudiannya semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN turut bertindak meninggalkan dewan sebagai tanda protes.

Ketika ditemui pemberita di luar dewan, Roslan berkata beliau berang dengan kenyataan Dr Afif yang disifatkannya sebagai tidak mengenang budi kerana mendakwa Dr Afif merupakan produk UMNO.

“Saya tahu asal usul keturunan Dr Afif… beliau seperti kacang lupakan kulit kerana saya kenal ibu bapa beliau yang mendapat manfaat daripada Universiti Teknologi MARA,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Datuk Jahara Hamid berkata semua ADUN BN turut keluar dewan sebagai tanda sokongan terhadap Roslan selain protes terhadap speaker DUN yang disifatkan sebagai tidak adil.

“Sepatutnya speaker kena arahkan ADUN Seberang Jaya juga keluar. Selain itu (dua ADUN DAP) Seri Delima (RSN Rayer) dan Jawi (Soon Lip See) juga perlu keluar dewan kerana mereka juga ingkar arahan tidak mahu duduk,” katanya.

Jahara berkata semua ADUN BN hanya akan masuk semula ke dewan selepas usul tergempar itu selesai dibahaskan kerana mengambil keputusan untuk tidak mahu terlibat dengan usul berkenaan.

Usul tergempar mengecam penyalahgunaan SOSMA itu dibentang Ketua Menteri Lim Guan Eng pagi ini dan disokong Datuk Mohd Rashid Hasnon (PKR-Pantai Jerejak).

— Bernama

(The Malaysian Times)

[4307174]

Facebook Comments