PAU perlu menjurus ‘mentaliti menang’ – Hishammuddin     


KUALA LUMPUR, 22 Nov: Perjalanan Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula 29 Nov ini perlu menjurus kepada ‘winning mentality’ atau ‘mentaliti menang’ dalam kalangan perwakilan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perwakilan juga perlu memanfaatkan perhimpunan kali ini dengan membincangkan usaha menguatkan jentera dan keyakinan setiap anggota parti.

“Perkara yang penting sekarang dalam UMNO, kita kena bersatu, kena bersiap sedia untuk PRU akan datang, rumah tangga kita perlu diperbetulkan dan saya berharap suasana dan perjalanan perhimpunan kali ini menjurus ke arah itu.

“Itu saya rasa penting dan boleh menjadi perkara ‘take away’ kepada perwakilan, perkara yang boleh dibawa balik ke bahagian masing-masing selepas perhimpunan itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyediaan Usul Majlis Tertinggi UMNO di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata walaupun menerima pelbagai serangan termasuk terbaru menerusi perhimpunan haram Bersih 5, UMNO masih mampu bertahan.

Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata, tidak ada jalan mudah untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan sebaliknya ia perlu diserahkan kepada rakyat menerusi pilihan raya.

Ditanya mengenai cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta agar jawatan pemangku timbalan presiden dimaktubkan dalam perlembagaan parti, katanya perkara itu tidak akan dibincangkan dalam perhimpunan agung kali ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan ia akan di bawa ke dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang berkemungkinan diadakan pada tahun depan jika dipersetujui secara konsesus oleh pucuk pimpinan parti.

Mengulas mengenai usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan nanti, Hishammuddin berkata sebanyak 681 usul telah diterima dan akan dibentangkan ke Majlis Tertinggi untuk diputuskan.

Katanya, usul berkenaan dikategorikan mengikut kluster seperti politik, ekonomi, agama, sosial dan pendidikan.

— Bernama

(The Malaysian Times)

[4307161]

Facebook Comments