300 warga Kota Bharu dapat lesen motosikal


KOTA BHARU: Seramai 300 penduduk di sekitar bandar ini menerima lesen motosikal kelas B2 menerusi Program 1 Komuniti 1 Jabatan Pengangkutan Jalan di Sekolah Kebangsaan (SK) Che Latif di sini, hari ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron, berkata program diperkenalkan JPJ sejak 2009 itu bertujuan memberi perkhidmatan secara terus kepada masyarakat, khususnya di luar bandar untuk mendapatkan lesen motosikal.

Katanya, program itu memanfaatkan penduduk berusia 45 tahun ke atas dan warga emas, termasuk di Sabah dan Sarawak, manakala bagi masyarakat Orang Asli pula membabitkan mereka berumur 21 tahun ke atas.

“Setakat ini seramai 8,537 warga emas mendapat manfaat daripada program ini yang diadakan di seluruh negara. Kita berharap program ini akan membuka peluang kepada golongan yang tiada lesen untuk memilikinya,” katanya selepas perasmian penutup program itu.

Program berkenaan antara lain memberi khidmat kursus pemanduan, latihan menunggang motosikal dan ujian yang dikendalikan JPJ, selain dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

(BHONLINE)

[4295385]

Facebook Comments