Hargai usaha Kumpulan Utusan memartabatkan tulisan jawi

ISKANDAR PUTERI 7 Sept. _ Usaha Kumpulan Utusan yang tidak putus-putus berusaha untuk memelihara tulisan jawi, amat dihargai dan wajar dijadikan contoh untuk terus memartabatkan warisan orang Melayu itu agar tidak lenyap ditelan zaman.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi kerjasama terbaharu antara Johor Corporation (JCorp) dan Kumpulan Utusan yang menerbitkan semula akhbar jawi, tulisan itu akan kembali dihargai dan diminati.

“Tahniah kepada kedua-dua pihak iaitu JCorp yang menyumbang (dalam penerbitan semula akhbar jawi) dan Kumpulan Utusan yang tidak putus asa dalam memelihara tulisan jawi. Ini juga akan meningkatkan kemampuan orang ramai terhadap tulisan jawi.

“Diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan dengan sentiasa meneroka cara dan kaedah baharu untuk menarik minat orang ramai cintakan tulisan jawi, terutama generasi muda,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pertukaran Dokumen Penajaan Penerbitan Akhbar Jawi Antara JCorp dan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Pejabat Menteri Besar, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Jais Sarday; Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah.

Sebelum ini, JCorp menaja 10,000 naskhah akhbar jawi versi cetak itu pada tahun lalu untuk diedarkan kepada 262 buah sekolah menengah di seluruh negeri, kaunter pejabat kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan sebagai bahan bacaan di masjid.

Selain diterbitkan dalam bentuk cetak dan akhbar digital, kerjasama berkenaan turut merangkumi usaha mewujudkan sebuah portal berita yang menggunakan tulisan jawi.

Portal yang dikenali sebagai Portal Jawi Utusan Melayu itu boleh diakses secara percuma melalui www.utusanmelayu.com.my bermula hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama kali ini yang melibatkan pertambahan akhbar digital dan portal berita jawi akan menjadikannya lebih interaktif serta usaha tersebut amat penting khususnya dalam memelihara tulisan itu di negeri ini.

“Kewujudan portal jawi adalah sesuatu (usaha) yang sangat bagus kerana memuatkan berita-berita terkini, ini sesuatu yang sangat baik, dengan adanya akhbar dan portal jawi, mereka ada sebab untuk terus menguasai dan memahami tulisan jawi,” katanya.

//habis

(Utusan Online)

Facebook Comments