Program Anyaman Kasih Jakoa-Kumpulan Utusan esok

Ketua Pengarah Jakoa, Mohd. Jamalludin Kasbi berkata, majlis pelancaran program kerjasama antara Jakoa dengan Kumpulan Utusan itu akan disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 11 pagi.

Mohd. Jamalludin berkata, Jakoa mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Utusan kerana memilih pihaknya untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kerjasama tersebut akan memberi fokus kepada tiga agenda utama iaitu pendidikan, kesihatan dan kerohanian.

“Saya percaya kerjasama ini akan membuahkan hasil yang baik untuk masyarakat Orang Asli terutamanya dalam meningkatkan taraf pendidikan, kesihatan dan juga kerohanian. Kerjasama ini juga dijangka akan dapat meningkatkan taraf ekonomi golongan tersebut.

“Melalui kerjasama ini, pelbagai program jangka panjang telah dirancang oleh kedua-dua pihak untuk membantu masyarakat Orang Asli,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa meninjau persiapan majlis di Dewan Serbaguna Taman Desa Kemandol hari ini.

Menurut Mohd. Jamalludin, bersempena dengan majlis pelancaran tersebut, turut diadakan ialah Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi meraikan masyarakat Orang Asli.

“Sebanyak 12 gerai makanan disediakan dalam majlis tersebut, gerai-gerai akan dihoskan oleh agensi-agensi di bawah Jakoa dengan menampilkan makanan yang popular di setiap negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

(Utusan Online)

[3786482]

Facebook Comments