Penyertaan atlet kebangsaan temasya SUKMA diteruskan – Khairy


KUCHING: Penyertaan atlet kebangsaan di Sukan Malaysia (SUKMA) pada edisi seterusnya akan diteruskan kerana ia penanda aras terbaik bagi mengukur prestasi semasa mereka berbanding atlet mewakili negeri.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata penyertaan atlet negara juga tidak semestinya digeruni kerana sebahagian mereka terutama daripada Program Kita Juara Sukan SEA 2017, kalah kepada atlet yang mewakili negeri.

“Kita bagaimanapun menetapkan kuota untuk sesetengah sukan dalam acara berpasukan seperti hoki di mana tiga pemain kebangsaan sahaja dibenarkan mewakili negeri (masing-masing).

“Kita benarkan (atlet kebangsaan) bertanding kerana ada sebahagian daripada mereka adalah atlet pelapis dan masih lagi muda,” katanya.

Khairy berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Sukma selepas mengadakan lawatan ke beberapa venue pertandingan SUKMA di sekitar bandar raya Kuching, hari ini.

Mengambil contoh juara badminton remaja dunia Goh Jin Wei, 16, Khairy berkata kehadiran pemain dari Pulau Pinang itu pada SUKMA kali ini menjadi medan terbaik untuk pemain yang mewakili negeri, mengukur prestasi masing-masing dengan pemain tersebut.

“Bagi saya, kita kena bagi peluang kepada atlet kebangsaan yang masih lagi menepati usia untuk bertanding di Sukma kerana ini dapat meningkatkan pertandingan selain memberi saingan kepada atlet negeri,” tegasnya.

Khairy menjelaskan sejumlah 1,455 daripada 3,599 atlet yang bertanding pada Sukma kali ini sudah diserapkan ke dalam program seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) seperti Program Kita Juara Sukan SEA 2017 serta Program Pelapis Serantau, Negeri ataupun Kebangsaan.

Dalam perkembangan sama, beliau memuji MSN dan Majlis Sukan Negeri Sarawak yang bekerjasama rapat dalam memastikan penganjuran edisi ke-18 temasya sukan itu berjalan lancar.

“Ada masalah kecil, kita dapat selesaikan di bawah segala jawatankuasa (kecil) yang ditubuhkan dan setakat ini dari segi makanan, tidak ada kes keracunan makanan (dilaporkan).

“Semua atlet dan pegawai daripada kontinjen bertanding telah memberi maklum balas yang baik mengenai tempat penginapan dan saya harap kita dapat kekalkan prestasi penganjuran ini sehingga (upacara penutupan rasmi) pada 31 Julai,” katanya. – BERNAMA

(BHONLINE)

[3783133]

Facebook Comments